Sindiket curi elektrik ditumpaskan, mesin pelombongan bitcoin 1.6 juta dirampas

Sindiket curi elektrik ditumpaskan, mesin pelombongan bitcoin 1.6 juta dirampas

Dalam serbuan, pihak polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara China.

Sindiket menggunakan premis tingkat atas bagi kegiatan pelombongan bitcoin supaya tidak disedari pihak berkuasa. (Gambar Bernama)
NILAI:
Polis menumpaskan sindiket mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan pelombongan bitcoin, menerusi serbuan di sembilan premis di sekitar kawasan Nilai semalam melibatkan nilai rampasan RM1.6 juta.

Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Fazley Ab Rahman berkata, operasi bersepadu dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan itu menyerbu empat premis di Bandar Enstek dan lima di Bandar Baru Nilai dengan merampas 581 unit mesin pelombongan bitcoin.

Berikutan itu, TNB turut mengalami kerugian sebanyak RM2.1 juta akibat aktiviti haram yang dijalankan hampir setahun.

“Operasi dijalankan pada 1 petang sehingga 5 petang dan pihak polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara China berusia dalam lingkungan 30 tahun.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, mereka mengaku sebagai juruteknik di salah satu premis diserbu itu.

“Ketika serbuan, mereka sedang memeriksa dan membuat penyelenggaraan ke atas mesin pelombongan bitcoin,” kata beliau dalam sidang media.

Beliau berkata, sindiket ini menggunakan premis tingkat atas bagi kegiatan pelombongan bitcoin supaya tidak disedari pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, 427 Kanun Keseksaan, dan Seksyen di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.