Peguam Khairul Azam bebas tuduhan khianat awam

Peguam Khairul Azam bebas tuduhan khianat awam

Mahkamah membebaskan Khairul Azam Abdul Aziz selepas pihak pendakwaan mahu menarik balik tuduhan selepas Jabatan Peguam Negara mempertimbangkan representasi pihak pembelaan.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz didakwa memuatnaik suatu video di Facebook yang mana beliau dikatakan berkata Cina atau India tidak disebut dalam Perlembagaan.
KUALA LUMPUR:
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang dituduh di mahkamah berhubung kenyataan yang didakwa mendatangkan khianat awam menerusi catatan di Facebook tahun lepas, dibebaskan hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Edwin Paramjothy Michael Muniandy, membebaskan tertuduh yang berusia 43 tahun itu walaupun Timbalan Pendakwa Raya Azizah Aling memohon beliau dilepaskan tanpa dibebaskan.

Pihak pendakwaan boleh menuduh Khairul bagi kesalahan sama pada kemudian hari sekiranya mahkamah sekadar melepaskan beliau.

Khairul didakwa memuatnaik suatu video di Facebook yang mana beliau dikatakan berkata Cina atau India tidak disebut dalam Perlembagaan.

Satu laporan polis dibuat oleh Mohd Razmil Razak dari Bukit Aman yang terbaca catatan itu.

Azizah memaklumkan kepada hakim hari ini bahawa pihak pendakwaan mahu menarik balik tuduhan terhadap Khairul selepas Jabatan Peguam Negara mempertimbangkan representasi daripada pihak pembelaan yang diketuai A Srimurugan.

Srimurugan bagaimanapun berhujah mahkamah harus membebaskan anak guamnya, berdasarkan suatu keputusan Mahkamah Rayuan.

“Perintah sewajarnya adalah ‘bebas’ kerana pihak pendakwaan menerima representasi dan membuat keputusan untuk tidak meneruskan kes ini,” katanya.

Hakim kemudian memerintahkan Khairul dibebaskan dan bayaran ikat jaminnya sebanyak RM6,000 dikembalikan.

Khairul dituduh mengikut Seksyen 505(c) KK kerana membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan melakukan kesalahan terhadap golongan lain.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.