
Perwakilan luar, ahli bukan perwakilan, dan pemerhati orang awam tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat tahunan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra kali ini, kata setiausaha agung Umno itu.
Malah gerai jualan dan trak makanan, yang menjadi kelaziman yang memeriahkan suasana setiap kali PAU, tidak dibenarkan.
Liputan media dibenarkan namun secara maya dari bilik khas kerana petugas media tidak dibenarkan berada dalam dewan persidangan.
Ahmad mengumumkan mesyuarat tahunan parti akan mematuhi SOP pencegahan wabak Covid-19, dan pihaknya akan menambah anggota keselamatan bagi memastikan pematuhan.
“Seperti mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan,” katanya.
Ahmad berkata ucapan pimpinan utama Umno akan disiarkan menerusi media sosial popular.
“Ucapan perbahasan oleh wakil Umno dari negeri- negeri akan disiarkan secara dalaman melalui aplikasi Webex,” katanya.
PAU kali ini menjadi tumpuan selepas Majlis Kerja Tertinggi Umno bersetuju membawa usul memutuskan hubungan dengan PPBM menjelang pilihan raya umum ke-15.