DBP ganti perkataan ‘keling’ dalam kamus baharu

DBP ganti perkataan ‘keling’ dalam kamus baharu

Menurut agensi itu, kamus dalam talian dan edisi cetak Kamus Pelajar akan dikemas kini kelak.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata, kamus agensi berkenaan merekodkan penggunaan dalam sejarah, tetapi turut dikemas kini. (Gambar Dewan Bahasa)
PETALING JAYA:
Dewan Bahasa dan Pustaka akan membuang perkataan “keling” daripada definisi kamus dalam taliannya, susulan kecaman orang ramai terhadap penggunaan istilah itu yang dianggap berbaur penghinaan.

“Kamus dalam talian akan dikemas kini. Perkataan ‘keling’ akan digantikan ‘India’ sejajar kamus terkini DBP,” kata Ketua Pengarahnya, Abang Sallehuddin Abg Shokeran dipetik Malaysiakini.

Beliau juga berkata, edisi seterusnya Kamus Pelajar turut akan dikemas kini.

Definisi yang dianggap kontroversi itu muncul dalam carian untuk perkataan “tambi” di laman rujukan kamus dalam talian, Pusat Rujukan Persuratan Melayu.

Hasil pertamanya ialah “panggilan utk orang Keling yg lebih muda drpd kita”, manakala definisi kedua sebagai “peon” atau pelayan pejabat. Bagaimanapun, edisi keempat Kamus Dewan menghuraikannya sebagai “panggilan utk orang India yg berpangkat adik”.

Ini menyebabkan ahli politik, termasuk Charles Santiago dan Kasthuri Patto dari DAP mempertikaikan kenapa definisi lapuk itu masih berada dalam kamus dalam talian.

Sementara itu, Dewan Bahasa berkata, versi terbaru Kamus Dewan Perdana menyatakan perkataan itu adalah tabu.

Menurutnya, kamusnya bersifat “kamus hidup” yang merekodkan sejarah, namun turut dikemas kini mengikut peredaran masa.

Katanya, pada 2003, terdapat tindakan undang-undang untuk membuang perkataan “keling” daripada Kamus Dewan, namun mahkamah memutuskan ia boleh dikekalkan kerana “tiada mala fide”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.