Budaya ambil duit: Bila ‘KPN hendak’, pegawai bawah jadi takut, kata Hamid Bador

Budaya ambil duit: Bila ‘KPN hendak’, pegawai bawah jadi takut, kata Hamid Bador

Ketua polis negara mempertahankan pendedahannya berhubung kewujudan "kartel" dalam polis.

SHAH ALAM:
“Ambil duit” jadi budaya dalam kalangan polis lantaran penglibatan pegawai bawahan hingga atasan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mempertahankan pendedahannya berhubung kewujudan “kartel” dalam polis.

Begitu situasinya hinggakan Hamid berkata “semua pegawai di bawah juga takut hendak ambil tindakan.”

“Kerana apa? KPN hendak. Ini berlaku dulu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, menjawab pengkritik yang tidak berpuas hati dengan pendedahannya sebelum ini.

“Jadi, mereka yang masih tidak sedar lagi, mengeluarkan kata-kata yang kononnya apa yang saya buat ini salah, saya cabar mereka apa salahnya dengan perbuatan saya.”

Hamid mendedahkan ada juga bekas pegawai polis yang sudah bersara masih meminta pelbagai perkara daripada pegawai-pegawai polis yang masih berkhidmat.

“Apabila tidak dilayan pula, kecewa dan mula cari salah sini. Saya hendak beritahu kumpulan ini, polis bukan saya punya, kepunyaan negara,” katanya.

Beliau berkata tindakannya mendedahkan isu “kartel” dalam polis tidak ada kaitan dengan tempoh perkhidmatannya yang akan tamat pada Mei.

“Tidak ada agenda apa-apa, walaupun ada yang kata ia adalah taktik nakal kononnya KPN hendak sambung hayat. Cuma saya hairan bila buat sesuatu yang baik, ada yang kritik,” katanya.

Hamid juga meminta maaf kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kerana tidak memaklumkannya berhubung isu “kartel” lebih awal.

Susulan pendedahan Hamid, Hamzah meminta beliau memberikan laporan penuh berhubung isu itu.

“Saya sekadar akan sampaikan kepada menteri,” katanya, dan menambah terpulang kepada Hamzah untuk mengangkat hal ini kepada Suruhanjaya Pasukan Polis.

Berhubung gesaan supaya ditubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja, Hamid berkata situasi “masih terkawal”.

Mengenai pengkritiknya, Hamid berkata ada yang memberikan komen ikhlas dan ada juga yang “baling batu sembunyi tangan”.

“Masih lagi dalam pemikiran lama kononnya polis adalah raja di Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.