
Malaysia hari ini mengusir semua diplomat Korea Utara selaras dengan keputusan kerajaan yang diumumkan oleh Wisma Putra, Jumaat lalu.
“Kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan tersebut sebagai respons terhadap keputusan unilateral dan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada Jumaat lalu.” katanya dalam kenyataan.
Hishammuddin berkata tindakan kerajaan itu menjadi satu keperluan dalam usaha melindungi kedaulatan dan memelihara kepentingan negara.
“Tindakan ini adalah peringatan bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang percubaan untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan kehakiman kita, tidak menghormati sistem tadbir urus dan sentiasa mewujudkan ketegangan yang tidak perlu dalam mengingkari peraturan berdasarkan perintah antarabangsa,” katanya.
Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, yang terjalin pada 1973, ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Susulan keputusan Korea Utara itu, kerajaan Malaysia menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang yang operasinya ditangguhkan sejak tahun 2017.