
Ketua Polis Daerah Kluang Low Hang Seng berkata lelaki berumur 38 tahun itu ditahan pada 6.15 petang tadi di kawasan perumahan Ladang Cattle Queen, Padang Hijau, Kluang hasil maklumat orang awam yang melihat seorang lelaki berlegar-legar di kawasan tersebut.
“Banduan tersebut adalah pesalah yang sudah dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 25 Feb lepas di Mahkamah Majistret Johor Bahru,” menurutnya dalam kenyataan.
Pada kira-kira 4.50 petang semalam, polis menerima panggilan daripada warden penjara yang memaklumkan empat lelaki tempatan cuba melarikan diri dari pusat tahanan itu.
Menurut warden itu, tiga daripada lelaki terbabit berjaya ditahan manakala seorang lagi meloloskan diri.
Kempat-empat banduan telah dituduh di mahkamah dan dihantar ke pusat tahanan itu untuk saringan keselamatan Covid-19 selama 14 hari sebelum dihantar ke Penjara Ulu Choh dekat Johor Bahru.