
Antara dakwaan yang disiasat adalah VIP merentas negeri dari Lembah Klang ke Negeri Sembilan untuk menghadiri suatu majlis perkahwinan pada 14 Mac, program dengan aktiviti berbasikal yang dirasmikan Zuraida, dan suatu majlis yang dihadiri Annuar.
“Sebagai permulaan kita akan gerakan pasukan penyiasat untuk merekod keterangan penganjur program terbabit yang tinggal di beberapa lokasi di pejabat dan rumah mereka termasuk di Seremban dan Kuala Lumpur terlebih dahulu,” kata Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, kepada FMT.
Siasatan dimulakan susulan laporan oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Wan Kamarul menjelaskan maklumat yang diperolehi menerusi inkuiri ini akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor dan Bukit Aman bagi tindakan lanjut.
“Kita kena berhati-hati menangani setiap kes ini kerana membabitkan orang kenamaan, ahli politik dan Menteri Kabinet supaya tidak timbul sebarang salah faham dan masalah lain di kemudian harinya,” katanya.