Ibu, anak dituduh dera amah Kemboja

Ibu, anak dituduh dera amah Kemboja

Teoh Beng Sim, 56, dan Teh Hooi Fung, 36, dituduh menggunakan kekerasan atau bentuk paksaan lain terhadap Soy, yang berusia 20-an.

Hakim Mahkamah Sesyen membenarkan masing-masing diikat jamin RM15,000 bersama seorang penjamin.
BUTTERWORTH:
Seorang ibu dan anak perempuannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana mendera pembantu rumah warga Kemboja di rumah mereka bulan lalu.

Teoh Beng Sim, 56, dan Teh Hooi Fung, 36, mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan serangan dan tindakan ganas terhadap pembantu rumah tersebut di rumah mereka di Jalan Perpaduan Kampung Baru, Bukit Mertajam pada tarikh atau tempoh yang tidak ditentukan.

Teoh dan Teh dituduh menggunakan kekerasan atau bentuk paksaan lain terhadap Soy, yang berusia 20-an, di bawah Seksyen 31 Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Identiti mangsa tidak didedahkan sepenuhnya kerana akta tersebut tidak membenarkan media mendedahkan identiti mereka diperdagangkan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Noraini Yusoff membenarkan dua tertuduh itu masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin. Mereka juga perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap 15 haribulan sehingga kes itu selesai.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat, sementara Supramaniam Kasia Pillai mewakili tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.