
Katanya, peraturan ketat yang dikenakan termasuk setiap penumpang perlu mempunyai surat kebenaran daripada polis menyebabkan jumlah penumpang sangat kurang, iaitu hanya kira-kira 10% daripada separuh kapasiti yang dibenarkan.
“Keadaan ini juga mengakibatkan pengusaha bas ekspres terpaksa membatalkan perjalanan kerana tidak sanggup menanggung kos tanpa pulangan yang setimpal.
“Selain itu, pengusaha juga terpaksa menanggung kos membayar gaji pemandu dan konduktor sedangkan perniagaan mereka mengalami kerugian,” katanya kepada FMT, semalam.

Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju membenarkan bas ekspres beroperasi dengan separuh kapasiti mulai 15 Mac selama tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
Bagaimanapun ketika ini, aktiviti rentas daerah hanya boleh dilakukan mengikut zon dan sekiranya penumpang bas ekspres mahu merentas daerah di zon berlainan, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran polis.
Zon 1 membabitkan Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar, manakala Zon 2 melibatkan Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.
Zon 3 merangkumi kawasan Kudat, Kota Marudu dan Pitas; Zon 4, Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod; Zon 5 – Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan; manakala, Zon 6 adalah Keningau, Tambunan dan Tenom.
Donald berkata, beliau meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu mesyuarat baru-baru ini agar melonggarkan syarat penumpang yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah.
Katanya, beberapa penumpang juga mengadu sukar untuk mendapatkan kebenaran polis walaupun tujuan mereka adalah untuk menjalankan perniagaan.
“Kasihan orang kampung yang mahu merentas daerah, mereka ini hanya mahu berniaga tapi perlu mendapatkan kebenaran polis, bukannya senang, malah ada dalam kalangan mereka yang permohonan ditolak.
“Jadi saya menyeru kepada kerajaan agar melonggarkan sedikit syarat itu, kerana walaupun telah dibenar beroperasi, ia seperti tidak bermakna kerana perniagaan masih tetap terjejas teruk,” katanya.