Remaja 14 tahun antara 9 ditahan disyaki peras ugut, menyamar polis

Remaja 14 tahun antara 9 ditahan disyaki peras ugut, menyamar polis

Modus operandi geng itu adalah menghubungi penjara dengan menyamar sebagai inspektor untuk mendapatkan maklumat waris tahanan yang kemudiannya digunakan untuk menipu mereka.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, A A Anbalagan berkata, mangsa disuruh membuat bayaran kononnya untuk membebaskan ahli keluarga yang ditahan.
BALIK PULAU:
Lima lelaki dan empat wanita yang dipercayai terbabit kegiatan pemerasan serta penipuan dengan menyamar sebagai polis, ditahan dalam beberapa serbuan di Perak serta Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, A A Anbalagan berkata, kesemua mereka yang berusia 14 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan antara 12 dan 14 Mac lepas, susulan laporan polis seorang suri rumah yang mengadu dia ditipu.

Beliau berkata, modus operandi mereka adalah membuat panggilan telefon ke mana-mana penjara dengan menyamar sebagai inspektor untuk mendapatkan maklumat waris banduan atau OKT, selain mendapatkan pelbagai maklumat terutama mengenai kes dadah dan pemilikan senjata api melalui pelbagai cara bagi tujuan pemerasan dan penipuan.

“Berdasarkan siasatan, lelaki berusia 43 tahun yang ditahan di Selangor itu adalah suspek utama dan dia mengaku terlibat dalam kes penipuan serta pemerasan dengan menyamar sebagai inspektor polis dari kontinjen Pulau Pinang, Melaka serta Sabah; dan kami turut menahan teman wanitanya dipercayai turut terlibat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, suspek utama yang mempunyai 33 rekod lampau berkaitan jenayah itu sangat licik kerana dia akan mencari mangsa sebelum meyakinkan mereka dengan meminta mereka ke pondok pengawal balai polis dan mengarahkan mereka membuat bayaran, kononnya untuk membebaskan ahli keluarga yang ditahan.

Anbalagan berkata, antara yang ditahan seorang wanita bekerja sebagai pengawal keselamatan bersama tiga anaknya, seorang kerani syarikat swasta, dan seorang pemandu lori.

“Mereka menerima komisen RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap transaksi; dan hasil pemeriksaan ke atas akaun bank mereka, polis mengesan transaksi mencurigakan melibatkan lebih RM800,000 sejak Januari tahun lepas. Polis percaya geng ini beroperasi sejak 2016 lagi,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan itu terbongkar selepas suri rumah berusia 52 tahun membuat laporan dia ditipu apabila didatangi dua lelaki dilengkapi “vest” polis pada 4 petang 23 Feb lepas memberitahu ada “pegawai polis” mahu bercakap dengannya menerusi panggilan telefon.

Katanya, wanita itu kemudian dihubungi lelaki mengaku kononnya “Insp Firdaus” dan meminta RM200,000 bagi membebaskan suaminya yang ditahan kerana terbabit dalam kes mengedar dadah 18 Feb lepas.

Anbalagan berkata, wanita itu memasukkan RM100,000 dalam beberapa akaun kemudian, namun selepas “Insp Firdaus” lesap bersama wangnya, suri rumah itu terus membuat laporan polis 10 Mac lepas.

“Polis turut merampas 25 telefon bimbit, pelbagai kad bank, wang tunai lebih RM14,000 serta barangan kemas. Dua pelajar, yakni anak suri rumah itu dibebaskan dengan jaminan polis, manakala yang lain direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.