Ibu tunggal rugi RM34,000 diperdaya ‘Ahmed Hamza dari Jerman’

Ibu tunggal rugi RM34,000 diperdaya ‘Ahmed Hamza dari Jerman’

Wanita berusia 66 tahun itu mengenali suspek yang mengaku tinggal di Jerman pada awal Februari lepas, dan mereka saling berhubung menerusi WhatsApp.

Mangsa membuat 19 kali transaksi bayaran ke tujuh akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek.
MELAKA:
Seorang ibu tunggal mengalami kerugian RM34,040 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket “African Scam”, selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka E Sundra Rajan berkata, wanita berusia 66 tahun itu mengenali suspek yang menggunakan nama “Ahmed Hamza”, yang mengaku tinggal di Jerman pada awal Februari lepas, dan mereka saling berhubung menerusi WhatsApp.

Beliau berkata, wanita itu mengadu ditipu selepas kenalannya itu meminta dia mengambil “barang” yang dikirimnya di sebuah syarikat kurier, namun wanita itu perlu membuat beberapa bayaran terlebih dahulu seperti kos penghantaran, duti setem, cukai, caj pertukaran wang dan sebagainya.

Katanya, wanita itu membuat 19 kali transaksi bayaran ke tujuh akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek, namun selepas ejen syarikat kurier itu masih menuntut pelbagai bayaran, barulah dia sedar yang dia ditipu.

“Suri rumah itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak semalam dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya dalam kenyataan.

Sundra Rajan berkata, sejak Januari hingga semalam sebanyak 15 kes direkodkan melibatkan kerugian RM679,800 akibat terpedaya dengan penipuan sindiket “African Scam” manakala pada tahun lepas, 90 kes dilaporkan dengan nilai kerugian kira-kira RM2.1 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.