
Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata, aktiviti tersebut dilakukan secara berperingkat melibatkan 11 petempatan di kawasan itu dan jadual telah diedarkan ke rumah yang berkenaan.
“Buat permulaan, ujian saringan akan memberi tumpuan kepada penduduk yang tinggal di Kampung Hilir mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari mengikut nombor rumah.
“Penduduk diminta datang mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelak kesesakan dan berlakunya jangkitan,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, pada Jumaat pula, ujian saringan bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan Kampung Datuk Lama, Jalan Masjid, Kampung Pak Dris, Jalan Alu-Alu, Sungai Bakong dan Kampung Baharu.
Menurut Annuar, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu memberi kebenaran ujian saringan itu dilanjutkan sehingga Sabtu melibatkan penduduk di Lorong Nanas, Lorong Lang, Lorong Isau dan Lorong Bangau.
Katanya, penduduk di kampung terlibat diminta menjalani ujian tersebut, sementara waris kepada warga emas yang terlantar sakit pula boleh mengemukakan nama warga emas berkenaan kepada Kawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk ujian berkenaan.