
Dalam kenyataan bertarikh 15 Jan, yang dimuat naik oleh seorang bekas menteri Warisan hari ini, SDB berkata semua fail dan dokumen diserahkannya kepada SPRM sudah dikembalikan ke pejabatnya pada 13 Jan.
“SPRM telah mengesahkan bahawa siasatan tidak menunjukkan bukti kesalahan bawah Akta SPRM 2009,” kata lembaga pengarahnya.
Bekas menteri pertanian dan industri makanan Sabah, Junz Wong, yang memuat naik kenyataan itu di Facebook, menunjukkan RM300 juta itu adalah pinjaman yang perlu dibayar dan bukan “hadiah” atau “pemberian”.
Naib presiden Warisan itu menjelaskan, kerajaan negeri terdahulu bekerjasama dengan AirAsia dan anak syarikat Our Farm untuk membantu mengangkut hasil segar Sabah ke seluruh dunia.
“Sekiranya tidak ada keuntungan daripada sektor pelancongan, maka pertanian dan akuakultur adalah langkah terbesar untuk meneruskan ekonomi Sabah,” katanya.
Wong juga berkata, rancangan Warisan ditangguhkan setelah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih kuasa, dan mendakwa gabungan yang berkuasa sekarang hanya mendiamkan diri daripada hasil siasatan tersebut.
SPRM memulakan siasatan terhadap pinjaman SDB berjumlah RM300 juta kepada AirAsia pada Oktober lalu untuk menentukan sama ada terdapat pelanggaran terhadap Akta SPRM 2009.
Dilaporkan, Ketua Menteri Hajiji Noor mengarahkan sebuah firma audit bebas menjalankan siasatan forensik terhadap tindakan SDB, kerana dana itu didakwa dikeluarkan tergesa-gesa untuk AirAsia selepas GRS mengambil alih pentadbiran.
Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan dan ADUN dilantik Yong Teck Lee, terdahulu menyuarakan agar pinjaman itu tidak dipersetujui oleh SDB, dengan berkata dana tersebut adalah bagi membiayai pembangunan untuk projek di Sabah.