
Lee berkata, tidak dinafikan ramai pihak menzahirkan kerisauan akan wujud kluster baharu membabitkan pembukaan operasi seperti itu, seterusnya beberapa perkara perlu dititikberatkan Putrajaya dan kerajaan negeri, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum memberi sebarang kebenaran beroperasi.
“Kalau boleh pastikan SOP diikuti. Lakukannya di kawasan lapang, terbuka dan luas di mana ruang pengaliran udara adalah baik. Paling penting, peniaga dan pelanggan sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal mereka. Elakkan juga makan di kawasan bazar Ramadan, hanya benarkan pandu lalu saja.
“Paling penting memastikan jangan terlalu sesak, hadkan jumlah individu yang masuk ke kawasan bazar Ramadan. Jangan adakan bazar Ramadan di kawasan sempit, di mana penjarakan fizikal sukar dikawal. Lakukan bazar Ramadan di kawasan padang atau jalan yang lebar.
“Jika tidak dilakukan akhirnya akan menjadi masalah,” katanya kepada FMT.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, bazar Ramadan serta Aidilfitri, dan solat Tarawih dibenarkan tahun ini mengikut SOP yang ketat dan perlu dipatuhi setiap peniaga dan pengunjung.
Antara syarat ditetapkan adalah dilakukan di lokasi terbuka, penyediaan laluan pintu masuk dan keluar, MySejahtera serta kawalan pengunjung. Bagi bazar Ramadan waktu operasi adalah antara 3 petang hingga 8 malam manakala bagi bazar Aidilfitri pula dari 10 pagi hingga 12 malam.
Selain itu, Lee berkata, beliau secara peribadi mengharapkan PBT menekankan aspek kesesuaian tempat untuk operasi bazar Ramadan.
Katanya, sekiranya SOP sepenuhnya dipatuhi, risiko jangkitan adalah rendah.
“Hakikatnya, sejak bila ada kluster membabitkan bazar seperti pasar malam? Apa yang ada hanya kluster membabitkan kenduri, restoran, asrama pekerja asing, iaitu dalam keadaan sesak dan tidak gunakan pelitup muka. Kita tahu, bila ada yang tidak gunakan pelitup muka, ini yang akan jadi masalah.
“Sebab itu kalau boleh jangan beri kebenaran untuk makan di kawasan bazar Ramadan. Jika kenduri, kita tahu biasanya sukar jaga penjarakan fizikal dan ada yang tidak memakai pelitup muka. Maka, risikonya akan menjadi lebih tinggi. Jadi, lakukanlah di kawasan lapang, jangan di kawasan berhawa dingin,” katanya.
Lee turut mencadangkan supaya masyarakat mengambil inisiatif sendiri sekiranya melihat situasi tidak diingini seperti sukar menjaga penjarakan fizikal atau ada individu yang tidak memakai pelitup muka, memandangkan sudah lebih setahun rakyat terbiasa dengan amalan itu.
“Kalau kita lihat ada bazar Ramadan atau pasar malam yang sesak, kita nampak terlalu ramai orang, kita juga secara sukarela elakkan. Orang awam perlu ambil perhatian,” katanya.