Lelaki pecahkan cermin kereta guna topi keledar dalam video tular ditahan

Lelaki pecahkan cermin kereta guna topi keledar dalam video tular ditahan

Punca kejadian di Parit Jawa, Muar, itu disyaki berkaitan cara pemanduan kenderaan yang mendorong suspek bertindak agresif.

Punca kejadian di Parit Jawa, Muar, itu disyaki berkaitan cara pemanduan kenderaan yang mendorong suspek bertindak agresif.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan polis setelah dia dipercayai memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledar berhampiran persimpangan lampu isyarat di Parit Jawa, dekat Muar.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar Zaharudin Rasip, suspek yang menunggang motosikal bertindak sedemikian selepas berlaku perselisihan faham dengan seorang pemandu kereta wanita berusia 26 tahun.

Kata Zaharudin seperti dilaporkan Harian Metro, kejadian berpunca daripada cara pemanduan kenderaan yang mendorong suspek bertindak agresif dengan memecahkan cermin hadapan kereta mangsa.

“Suspek juga memecahkan cermin sisi kereta sebelah pemandu dan merosakkan bonet hadapan kereta mangsa dengan menggunakan topi keledarnya,” kata beliau dalam kenyataan.

Suspek difahamkan sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar akibat masalah mental.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan polis menasihatkan orang ramai untuk berhenti memuat naik gambar, video dan kenyataan di laman sosial yang boleh menimbulkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Tular di media sosial sejak semalam video berdurasi satu minit 38 saat itu yang menunjukkan seorang lelaki dengan berang memecahkan cermin dan merosakkan kereta milik seorang wanita di Pekan Parit Jawa, Muar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.