59 majikan akan didakwa atas kesalahan akta penginapan dan kemudahan pekerja

59 majikan akan didakwa atas kesalahan akta penginapan dan kemudahan pekerja

Kementerian Sumber Manusia tidak akan berkompromi dengan majikan yang melanggar Akta 446 kerana ia menjejaskan imej negara.

penginapan pekerja,
Menteri Sumber Manusia S Saravanan berkata, sebahagian besar daripada majikan yang akan didakwa itu pengeluar sarung tangan getah, pengeluar perabot, dan kilang pembuatan.
PUTRAJAYA:
Sebanyak 59 majikan akan menjadi kumpulan pertama syarikat dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat atas pelbagai tuduhan mengikut Akta Standard Minimum Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Menteri Sumber Manusia S Saravanan berkata, sebahagian besar daripada majikan yang akan didakwa itu pengeluar sarung tangan getah, pengeluar perabot, dan kilang pembuatan.

Saravanan berkata, syarikat berkenaan sebahagian daripada 3,452 majikan yang diperiksa dari 1 Sept 2020 hingga 31 Jan 2021, membabitkan 101,726 pekerja yang terdiri daripada 11,046 warga tempatan dan 90,677 warga asing,

“Hasil pemeriksaan secara berterusan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) membawa kepada pembukaan 124 kertas siasatan bawah Akta 446, membabitkan majikan pelbagai sektor termasuk pembuatan sarung tangan getah, perabot, pembinaan, peruncitan, dan perkilangan.

M Saravanan.

“115 kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan 70 kes bakal dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media di kementerian petang tadi.

Antara dakwaannya tiada perakuan penginapan; bangunan penginapan tidak sesuai didiami; dan gagal menyediakan penginapan berasingan untuk pekerja berlainan jantina.

Dakwaan lain gagal mematuhi kehendak minimun kelas bangunan dormitori bagi penyediaan bilik air dan tandas mengikut nisbah satu bilik air dan tandas bagi 15 pekerja; dan gagal menyediakan kemudahan asas yang tidak boleh dikongsi seperti katil, tilam, dan almari berkunci.

Jika sabit kesalahan, semua majikan berkenaan boleh didenda maksimum RM50,000 bagi setiap kesalahan.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata Ordinan Darurat memberi kuasa tambahan kepada kementerian untuk mengarahkan majikan dan penyedia penginapan berpusat menggantikan, mengubah, dan membaiki penginapan dan kemudahan yang tidak mematuhi Akta 446.

Beliau berkata, penguatkuasaan ordinan berkenaan juga membolehkan kementerian mengarahkan majikan dan penyedia penginapan berpusat supaya menyediakan penginapan sementara kepada pekerja yang tinggal di kediaman yang teruk dan tidak sesuai didiami.

“Majikan dan penyedia penginapan berpusat yang gagal mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Sepanjang penguatkuasaan Akta 446 bawah Ordinan Darurat dilaksanakan pada 26 Feb lalu, sebanyak 3,256 majikan telah diperiksa dan membabitkan 17,576 penginapan.

“Daripada jumlah itu lapan kertas siasatan dibuka dan diberikan keizinan untuk kompaun,” katanya.

Saravanan mengingatkan majikan dan penyedia penginapan berpusat yang masih belum memohon perakuan penginapan supaya segera berbuat demikian demi mengelakkan tindakan yang lebih keras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.