Pakar ekonomi ragu-ragu berhubung kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kepada Bernama bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berserta rancangan pemulihan ekonomi negara akan mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasannya yang betul.
Bercakap kepada FMT, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, kenyataan Zafrul tepat berhubung situasi terburuk telah berakhir dan ekonomi mungkin akan pulih pada akhir tahun ini.
Namun beliau berkata, pergantungan pemulihan ekonomi kepada suntikan rangsangan kerajaan mungkin terbukti merisaukan pada masa akan datang.

“Ini adalah teras masalah,” katanya. “Ini kerana setelah suntikan berakhir pada pertengahan tahun, mungkin terdapat sedikit pilihan jika rangsangan seterusnya diperlukan.
“Sekatan juga menyebabkan perubahan struktur dalam ekonomi yang setakat ini tidak ditangani.”
Tambahnya, masalah struktur mungkin mempunyai kesan meluas yang boleh melumpuhkan pemulihan walaupun selepas wabak itu berakhir.
“Hanya untuk menyebut beberapa perkara: berjuta-juta pesara tidak mempunyai pencen, pengangguran dan guna tenaga tidak penuh struktur, kenaikan hutang sektor swasta dan pinjaman tidak berbayar,” katanya.
Selain itu katanya, negara harus berdepan dengan hutang kerajaan yang tinggi.
Williams mengingatkan bahawa walaupun masalah pinjaman dan hutang sektor swasta masih boleh dikendalikan, kerajaan harus memberi perhatian kepada masalah sosial yang timbul akibat kemiskinan dan hutang.
Beliau tidak menjangkakan campur tangan dasar baharu untuk mempercepat pemulihan ekonomi sementara negara berada dalam senarai menunggu vaksinasi.
“Satu-satunya cara untuk mempercepat pemulihan ekonomi adalah dengan membenarkan aktiviti pulih sepenuhnya dengan menghapuskan sekatan pergerakan,” katanya.
“Apabila anda merangsang permintaan tambahan, anda berdepan risiko inflasi jika anda tidak melepaskan pembekal daripada kekangan.”
Barjoyai Bardai dari Universiti Tunku Abdul Razak memberitahu FMT bahawa ramalan untuk tahun 2021 menunjukkan ekonomi mungkin “belum cemerlang”.
Namun beliau berkata, beberapa strategi diperlukan bagi mengatasi masalah struktur supaya tidak menghalang pemulihan.

Beliau berkata, walaupun keutamaan jangka pendek adalah untuk memastikan terdapat wang yang cukup dalam edaran untuk merangsang pekerjaan dan penggunaan, kerajaan perlu melihat kemungkinan untuk merombak ekonomi itu sendiri.
“Pada tahap ini, ekonomi masih terlalu bergantung pada modal dan pelaburan asing,” katanya.
“Ia berjalan baik selama ini, tetapi ia juga mengganggu pengagihan kekayaan di Malaysia secara drastik.”
Selain gangguan “membimbangkan” ini, katanya, ia menyebabkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia tertakluk kepada belas ihsan para pelabur.
“Akhirnya negara ini harus bersiap sedia untuk menghadapi Revolusi Industri 5,” katanya.
“Tetapi ia tidak akan bersedia sehingga ia mmenyesuaikan diri sepenuhnya dengan tuntutan Revolusi Industri 4 itu sendiri.
“Untuk ini, banyak tenaga kerja berkemahiran rendah perlu dilatih semula, ditingkat kemahiran dan disusun semula kedudukan mereka untuk meningkatkan produktivi,” katanya.
“Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) mesti menggerakkan sumbernya untuk meningkatkan tenaga kerja Malaysia dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.”