
Syarikat gergasi pengangkutan awam itu dalam kenyataan mengesahkan semula kenyataan Pengerusinya, Tajuddin Abdul Rahman pada Selasa lalu yang mengesahkan Norlia Noah mengambil alih jawatan CEO pada 23 Feb lalu dan dilantik sebagai pemangku presiden.
“Prasarana mengesahkan lembaga pengarah Prasarana Malaysia Berhad mengadakan mesyuarat pada 22 Feb dan membuat keputusan menamatkan perkhidmatan Muhammad Nizam Allias,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Nizam mengeluar kenyataan bercanggah dengan komen Tajuddin, dengan berkata beliau belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi mengenai pemecatannya.
“Buat masa ini, setahu saya, lembaga pengarah belum membuat sebarang keputusan untuk menamatkan perkhidmatan saya,” kata Nizam.
Sebelum ini, Prasarana dilaporkan menggantung Nizam dan meminta beliau mengambil cuti pada 9 Dis lalu, dengan sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada lembaga pengarah yang menyiasat dakwaan salah lakunya.
Pada 8 Dis lalu, laman berita The Vibes memetik sumber sebagai berkata, penggantungan Nizam susulan ketegangan di peringkat kepemimpinan selepas pelantikan Tajuddin sebagai pengerusi pada Mei 2020.