AJL35 jadi penanda aras siaran langsung dengan SOP ketat, kata KSU KKMM

AJL35 jadi penanda aras siaran langsung dengan SOP ketat, kata KSU KKMM

Ketua Setiausaha KKMM Mohammad Mentek berkata MKN dan kementerian telah menetapkan SOP lebih ketat program hiburan itu bagi mengelak penularan Covid-19.

Ketua Setiausaha KKMM Mohammad Mentek berkata, persembahan artis untuk AJL35 dihadkan kepada enam individu di atas pentas dan tanpa kehadiran penonton.
KUALA LUMPUR:
Penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) terbitan TV3 boleh dijadikan rujukan bagi penganjuran acara hiburan secara siaran langsung dengan pembudayaan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, pada masa akan datang.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Mohammad Mentek berkata program hiburan itu menjadi contoh bagi penganjuran acara secara langsung dalam keadaan negara sedang berusaha mengawal wabak Covid-19 khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelas beliau, bagi AJL35 yang akan berlangsung malam esok, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKMM telah menetapkan SOP lebih ketat bagi mengelak berlaku penularan Covid-19.

“Ini (AJL) boleh dijadikan penanda aras untuk mana-mana (acara) siaran langsung yang akan diadakan kelak kerana kita dan MKN telah menggariskan SOP yang amat ketat dengan penekanan prinsip pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan aktiviti sanitasi.

Mohammad Mentek.

“Untuk AJL35, kita juga tetapkan setiap persembahan artis dihadkan kepada enam individu di atas pentas dan tanpa kehadiran penonton,” katanya ketika ditemu bual Buletin Utama TV3 selepas membuat pemantauan pematuhan SOP pada sesi raptai penuh AJL35 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam ini.

AJL35 yang mempertandingkan 12 lagu adalah edisi pertama bersiaran langsung tanpa kehadiran penonton untuk mengekang penularan wabak penyakit itu.

MKN sebelum ini menetapkan semua jenis acara, pertunjukan, penggambaran dan persembahan langsung dalam industri kreatif di dewan, audtiorium, premis seni, pusat konvensyen, stadium dan studio dibenarkan di kawasan PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP) tanpa kehadiran penonton, dan jumlah pengurusan, artis serta kru terhad kepada 70 peratus di kawasan PKPB dan 100% bagi PKPP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.