
Penyanyi berbakat besar ini yang dikenali sebagai vokalis utama kumpulan Spin, berjaya memikat hati peminat dengan suara penuh emosi serta deretan lagu hit yang menjadi ikonik dalam muzik Malaysia.
Kini, 16 tahun selepas pemergiannya, lagu-lagunya masih mendapat tempat dan kenangannya terus hidup dalam hati peminat serta mereka yang mengenalinya.
Menurut adiknya, Muhammad Khalis Shari, lagu-lagu Achik bersifat ‘evergreen’ atau malar segar dan sentiasa menjadi pilihan ramai.
“Ramai peminat beritahu saya mereka sering menyanyikan lagu Achik di karaoke, terutama ketika sedih atau jatuh cinta.
“Itu kekuatan muziknya, sampai sekarang pun orang masih menyanyikannya,” katanya kepada FMT Lifestyle.

Dilahirkan di Negeri Sembilan pada 1982, Achik mula menunjukkan minat terhadap muzik sejak kecil. Beliau pernah menyanyi di majlis perkahwinan dengan bayaran sekitar RM30 satu persembahan sebelum menyertai pertandingan nyanyian.
Khalis mengimbau abangnya sudah berazam untuk berjaya dalam industri muzik sejak muda. Malah, Achik pernah bercita-cita menubuhkan syarikat muzik sendiri yang turut membuka peluang kepada adik-beradiknya.
Walaupun semakin popular, Achik tetap mengutamakan keluarga. Setiap kali mempunyai masa lapang walaupun hanya sehari, beliau akan meluangkannya bersama adik-beradik.
“Dia seorang abang yang penyayang, ceria, tetapi tegas. Bila dia buat keputusan, dia akan berpegang teguh padanya,” kata Khalis.
Achik menubuhkan kumpulan Spin pada tahun 1999, dan mereka menghasilkan empat album iaitu ‘Roda Roda Rindu’ (1999), ‘Spin 2: Litar Asmara’ (2000), ‘Spin 3: Demi’ (2002) dan ‘Keranamu’ (2003).
Antara lagu popular mereka termasuk ‘Mengusung Rindu’, ‘Hadirlah Mustika’ dan ‘Dekat Disayang Jauh Dikenang’.

Beliau juga mencipta nama melalui duet bersama penyanyi Negeri Sembilan, Siti Nordiana. Sebagai pasangan Achik & Nana, mereka menghasilkan dua album, termasuk lagu hit ‘Paling Comel’ pada 2003.
Selain menyanyi, Achik turut menceburi bidang lakonan dan memegang watak utama dalam telefilem ‘Diari Romeo’ (2003), yang melayakkan beliau memenangi anugerah Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia ke-17.
Namun, kehidupan Achik terhenti secara tragis di usia 27 tahun pada 17 April 2010, selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Lekas sekitar jam 6.15 petang.
Menurut laporan media, kenderaan MPV yang dinaiki bersama rakannya melanggar papan tanda sebelum terbakar dan meletup. Jenazahnya dikebumikan di Makam Tuan Haji Said Muslim, Seremban. Beliau meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak perempuan.
Lebih 100 orang hadir memberi penghormatan terakhir, termasuk penyanyi terkenal seperti Hattan, Tomok dan Lan Yusof.
Khalis berkata pemergian abangnya menjadi ujian besar buat keluarga.

“Memang sukar untuk teruskan hidup tanpa dia. Saya rasa kalau bukan kerana pemergiannya, mungkin kami tidak akan menceburi bidang muzik. Tapi kami teruskan juga demi legasinya.”
Kini, empat daripada sembilan adik-beradik Achik turut terlibat dalam bidang muzik, termasuk Tajul dan Beby Acha.
Dua kumpulan turut ditubuhkan: Satu menggunakan nama Spin dengan barisan ahli baharu bersama adiknya, Awis, sebagai vokalis utama. Satu lagi, Real Spin, dianggotai ahli asal Aidel Ahmad dan Azren Kamil bersama Khalis.
Walaupun nama kumpulan hampir sama, Khalis menegaskan tiada persaingan antara mereka – sebaliknya masing-masing saling melengkapi.
Khalis juga sering mengenang abangnya melalui persembahan. Setiap kali diundang menyanyi, beliau biasanya akan membawakan sekurang-kurangnya dua lagu Achik.
Sebagai pesanan kepada peminat, Khalis berharap orang ramai terus mendoakan Achik dan menghargai karya-karyanya.
“Saya gembira bila generasi baharu mula mengenali dan menghargai lagu-lagunya. Sebut saja lagu hitnya, orang terus ingat Achik. Dia memang tak akan dilupakan.”