
Takiyuddin menjelaskan, dakwaan itu adalah berita tidak benar yang sengaja disebarkan pihak tertentu.
“Ini adalah salah satu contoh kesalahan menyebarkan berita tidak benar bagi saya,” katanya pada sidang media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah bagi menjelaskan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang berkuat kuasa hari ini.
Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya jika banyak dakwaan mengatakan pihak kerajaan terpaksa memohon Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan proklamasi darurat kerana sudah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat boleh dianggap sebagai berita palsu.
Terdahulu, Takiyuddin menjelaskan kerajaan memohon Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan empat undang-undang darurat termasuk terbaharu Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 berkuatkuasa mulai hari ini bagi menjamin dan mengekalkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.
Kerajaan semalam memperkenalkan undang-undang baharu yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000, penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu yang didapati bersalah menghasil, menyiar atau menyebarkan berita palsu.
Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang berkuat kuasa hari ini menyatakan berita atau maklumat yang “keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu berhubung Covid-19 atau proklamasi darurat” boleh dipertimbangkan di bawah undang-undang itu.
Denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara enam tahun turut akan dikenakan ke atas mereka yang menyediakan bantuan kewangan secara langsung atau tidak langsung untuk menghasil atau menyebarkan berita palsu tersebut.