Penangguhan beri peluang kerajaan tambah baik RMK-12, kata Mustapa

Penangguhan beri peluang kerajaan tambah baik RMK-12, kata Mustapa

Mustapa Mohamed berkata RMK-12 kali ini mengambil kira kesan yang amat besar disebabkan oleh pandemik Covid-19 terhadap landskap ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata RMK-12 bakal memberi tumpuan ke arah menangani kemiskinan.
KUALA LUMPUR:
Penangguhan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu berikutan penularan Covid-19 telah memberi peluang kepada kerajaan untuk menambah baik dokumen berkenaan supaya selari dengan situasi semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata RMK-12 kali ini mengambil kira kesan yang amat besar disebabkan oleh pandemik Covid-19 terhadap landskap ekonomi negara.

“Kita telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak dan pemegang taruh untuk mendapatkan input mereka mengenai dokumen ini.

“Disebabkan penangguhan pembentangan dokumen ini, sebenarnya, kita telah membuat satu penambahbaikan yang agak besar dan selain daripada Covid-19, ia turut membabitkan hala tuju baharu kementerian-kementerian.

“Kita ada beberapa dasar terkini yang telah digubal oleh kementerian seperti Dasar Keusahawanan Nasional dan Dasar Perpaduan Negara yang mana telah diambil kira dalam RMK-12,” katanya pada sidang media Setahun Malaysia Prihatin pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata penangguhan pembentangan RMK-12 juga membolehkan kerajaan menambah angka sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi 2020 berbanding anggaran sebelum ini, di samping, memasukkan Rangka Tindak Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Mustapa berkata RMK-12 bakal memberi tumpuan ke arah menangani kemiskinan, khususnya penghapusan kemiskinan tegar dan mengurangkan ketidaksamarataan sosioekonomi dengan melaksanakan program yang lebih menyeluruh dan bersasar.

Ia juga bakal memberi penekanan kepada agenda pemerkasaan Bumiputera bagi mengurangkan jurang di antara Bumiputera dengan kaum lain, di samping mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak dan negeri-negeri lain yang kurang membangun dengan memantapkan penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas.

Katanya dokumen ini juga bakal menyediakan ekosistem yang kondusif untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mempercepat penerimagunaan teknologi termaju dan pendigitalan serta menggalakkan pelaburan yang berkualiti dengan memberi tumpuan kepada aktiviti berteknologi tinggi.

RMK-12 turut bertujuan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau untuk menyokong agenda pembangunan mampan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.