
Syarikat utiliti gergasi itu memberitahu FMT bahawa daripada 610 kes yang dikesan pada 2018, jumlahnya telah meningkat kepada 1,043 kes pada 2019 dan 2,465 kes tahun lalu.
Bitcoin adalah bentuk mata wang digital yang diberikan kepada komputer yang dapat menyelesaikan serangkaian masalah matematik yang rumit, dan rangkaian komputer pertama, atau “pelombong”, yang menyelesaikan susun suai tersebut diberi ganjaran bitcoin dan yuran transaksi rangkaian.
Sebagai mata wang kripto paling bernilai di dunia berdasarkan nilai pasaran, harga bitcoin meningkat secara mendadak sejak setahun lalu dan mencecah USD50,000 bulan lalu disebabkan oleh penerimaan pembayaran digital yang semakin meningkat oleh syarikat-syarikat utama dan faedah oleh pelabur institusi.
Tetapi mesin perlombongan bitcoin menggunakan tenaga elektrik yang memakan kos ratusan ribu ringgit untuk beroperasi, dan beberapa minggu kebelakangan ini, rentetan insiden kecurian bekalan elektrik bagi tujuan perlombongan bitcoin menjadi berita utama setelah polis membongkar operasi mereka.
“Antara lain, penggunaan tinggi tenaga oleh rangkaian perlombongan bitcoin berkait dengan perkakasan komputer, kerumitan menyelesaikan susun suai dan tenaga yang digunakan untuk infrastruktur bukan IT – seperti penyejukan dan pencahayaan – semuanya berjalan 24 jam,” jelas TNB.
“TNB melakukan serbuan secara berkala di premis kegiatan pencurian bekalan elektrik dan, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, telah meningkatkan usaha dengan kerjasama polis, Suruhanjaya Tenaga (EC) dan majlis setempat untuk menangkap pencuri bekalan elektrik, terutama dalam kalangan pelombong bitcoin.
“Jumlah kes dilaporkan yang tinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini adalah hasil kejayaan serbuan bersama agensi-agensi dan pihak berkuasa,” katanya.
Masalah negara
TNB kerugian kira-kira RM8.6 juta akibat kecurian elektrik selepas polis Johor membanteras operasi perlombongan bitcoin di negeri itu bulan lalu, dengan 1,746 mesin perlombongan bitcoin disita dari 21 premis.
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay kemudiannya berkata, kecurian elektrik yang berkaitan dengan perlombongan bitcoin mengakibatkan TNB Johor mengalami kerugian sekitar RM90 juta tahun lalu sahaja.
Juga bulan lalu, polis Melaka merampas 700 sistem pelayan komputer yang menggunakan bekalan elektrik yang dicuri untuk melombong bitcoin selama dua bulan, dengan kerugian TNB dianggarkan polis sekitar RM648,000.
Di Sarawak, polis melumpuhkan operasi perlombongan mata wang kripto di Miri yang beroperasi lebih enam bulan di lima buah rumah kedai. Polis menjangkakan Sarawak Energy Bhd (SEB) akan kehilangan RM4.4 juta disebabkannya.
Polis di Pulau Pinang dan Perak juga melaporkan penangkapan berkaitan kecurian elektrik untuk perlombongan bitcoin sejak dua minggu lalu.
Selepas serbuan di Melaka, timbalan ketua polis Shahrul Lalli Masduki memberitahu Bernama bahawa berdasarkan siasatan TNB, penggunaan elektriknya dianggarkan melebihi RM324,000 sebulan tetapi bil yang didaftarkan di bawah premis tersebut menunjukkan penggunaan bernilai hanya sekitar RM10 sebulan.
Polis sebelum ini berkata, premis seperti itu terletak di rumah kedai di kawasan terpencil yang telah diubahsuai untuk menyediakan pengudaraan yang lebih baik sebelum mencuri bekalan elektrik dengan mengusik meter atau memintasnya.
“Ini menjejaskan keselamatan dan kebolehpercayaan bekalan bagi orang ramai pada umumnya,” kata TNB.
Menurut TNB, masalah bekalan elektrik yang kerap berulang akibat kerosakan sistem boleh menjejaskan perniagaan dan menyebabkan kesulitan kepada orang ramai, selain boleh mengakibatkan kebakaran.
Syarikat utiliti tersebut, yang telah meningkatkan pengawasan untuk mengesan premis yang disyaki mencuri bekalan elektrik dan membina sambungan haram, memberi amaran bahawa setiap individu yang mencuri bekalan elektrik boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.
Selain itu, sesiapa yang melakukan kesalahan tersebut boleh didakwa atas kesalahan mencuri dan khianat di bawah Kanun Keseksaan. Sehingga kini, katanya, tuduhan di bawah Kanun Keseksaan telah dikemukakan bagi sembilan daripada 57 serbuan yang dibuat.
Antara November tahun lalu dan Februari, 22 operasi bersama dijalankan dengan EC, polis dan majlis setempat yang melibatkan 123 premis di Semenanjung Malaysia. Daripada jumlah itu, 54 tangkapan dibuat atas kesalahan mencuri bekalan elektrik.
“TNB, dengan kerjasama dengan EC dan polis, akan terus memastikan kestabilan dan integriti bekalan elektrik negara tidak terkompromi disebabkan pelombong bitcoin yang tidak bertanggungjawab,” katanya.