Salah guna dadah bukan masalah industri, kata pemandu bas, syarikat pengangkutan

Salah guna dadah bukan masalah industri, kata pemandu bas, syarikat pengangkutan

Pemandu terlibat dengan dadah bukan disebabkan tekanan kerja tetapi sikap mereka sendiri, kata bekas presiden Persatuan Pengangkut Malaysia Nazari Akhbar.

Pemandu treler yang mengakibatkan kemalangan di SUKE yang meragut dua nyawa minggu lalu didapati positif syabu.
PETALING JAYA:
Tepat sebelum Hari Raya pada 2017, 13 pemandu bas ekspres didapati positif dadah. Pada tahun berikutnya, 10 orang dikesan positif dadah, termasuk seorang wanita. Beberapa hari yang lalu, seorang pemandu lori yang merobohkan jambatan pejalan kaki dalam satu kemalangan di mana dua mati dan tiga cedera parah, juga didapati menggunakan dadah.

Adakah ini menunjukkan bahawa pemandu bas dan lori sering menyalahgunakan dadah? Tidak, kata kumpulan pemandu bas dan seorang bekas presiden persatuan pengangkutan.

Bekas presiden Persatuan Pengangkut Malaysia Nazari Akhbar berkata, dadah adalah masalah dalam masyarakat, tetapi bukan hanya berleluasa dalam industri lori.

Beliau juga berkata, gaji rendah tidak menjadi masalah kerana pemandu “senang-senang” dapat memperoleh sekitar RM3,000 sebulan, sementara mereka yang bekerja lebih keras boleh meraih hingga RM8,000.

“Kami tidak menafikan bahawa ada beberapa pemandu yang terlibat dengan dadah, tetapi berdasarkan pengalaman saya dalam industri, bilangannya sangat kecil.

“Bagi mereka yang terlibat dengan dadah, ia bukan disebabkan tekanan kerja tetapi sikap mereka sendiri.

“Selain itu, oleh kerana mereka mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), mereka sudah dilindungi. Malah beberapa syarikat menyediakan skim insurans untuk pemandu mereka.

“Industri pengangkutan mengendalikan 24 juta kontena penghantaran setahun. Sekiranya industri ini dibebani masalah dadah, saya tidak rasa kami dapat membuat sebegitu banyak penghantaran ke seluruh negara,” kata beliau kepada FMT.

Ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj menggesa kerajaan menambahbaik tangga gaji dan perlindungan sosial bagi pemandu kenderaan berat, dengan berkata, ramai yang menggunakan dadah perangsang jenis syabu, supaya mereka mampu bekerja lebih lama dan meraih pendapatan yang lebih tinggi.

Beliau berkata sedemikian susulan sebuah nahas yang mengorbankan dua orang di tapak Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) minggu lalu. Pemandu treler yang menyebabkan kemalangan itu kemudian didapati positif syabu.

Tiada kenaikan tambang bas sejak 2009

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pan-Malaysia, Mohamad Ashfar Ali berkata, seharusnya tidak wujud isu pemandu bas menggunakan dadah supaya mereka dapat bekerja lebih kerana tempoh bekerja mereka ditetapkan secara berjadual.

Kata beliau kepada FMT, mereka tidak dibenarkan bekerja lebih daripada lapan jam sehari, sambil menambah, mereka boleh melanjutkan waktu pekerjaan mereka hingga 10 jam sehari, tetapi diselangi dengan rehat dua jam.

“Bagi bas henti-henti dan bas ekpress pula, tambangnya ditetapkan oleh kerajaan. Kali terakhir tambang dinaikkan adalah pada tahun 2099, sudah lama.

“Negara-negara lain biasanya menyemak kembali tambang setiap dua tahun untuk mengatasi inflasi. Tetapi entah bagaimana, perkara ini belum berlaku di Malaysia dan kami beroperasi dalam keadaan yang sangat sukar.

“Sekiranya tambang tidak dinaikkan, bagaimana kami hendak bayar gaji lebih tinggi? Kos operasi meningkat, terminal terus menaikkan tambang dan sekarang, penumpang semakin kurang,” keluh beliau.

Beliau berkata, rayuan kepada kerajaan agar tambang dibenarkan menjadi lebih fleksibel tidak diendahkan, dengan Kementerian Pengangkutan hanya memberi respons, “kami akan meneliti isu ini”.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga berkata ia sedang mempertimbangkan isu kenaikan tambang bagi bas ekspres. Namun, pentadbirannya jatuh sebelum apa-apa dapat dilaksanakan.

Ashfar berkata, persoalannya sekarang adalah bagaimana pemandu dapat menjalani pemeriksaan perubatan tahunan mereka ketika memperbaharui lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) sekiranya mereka benar-benar terjebak dengan dadah.

Nazari berkata, industri pengangkutan berdepan isu kekurangan pemandu, maka beberapa pemandu terpaksa bekerja lebih masa untuk memenuhi permintaan.

Beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan pusat latihan bagi melatih pemandu baharu, mirip institut latihan vokasional. Dengan cara ini, permintaan industri yang memerlukan lebih ramai pemandu dapat dipenuhi.

Beliau juga mengakui bahawa ada beberapa syarikat yang tidak membayar gaji yang setimpal kepada pemandu mereka, sehingga memaksa mereka bekerja lebih masa untuk meraih pendapatan lebih tinggi. Namun, beliau menegaskan amalan ini tidak begitu berleluasa.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat seperti ini. Secara keseluruhan, dalam industri ini, kebanyakan pemandu menerima gaji setimpal. “

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.