Anak perempuan Zahid mahu melabur dalam firma, bukan yayasan, mahkamah diberitahu

Anak perempuan Zahid mahu melabur dalam firma, bukan yayasan, mahkamah diberitahu

Pegawai penyiasat SPRM berkata, maklumat itu dikumpul daripada beberapa saksi yang sudah ditemuramah.

Mahkamah Tinggi diberitahu anak perempuan Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah membayar RM8.6 juta untuk membeli saham syarikat pengurusan hotel tetapi ia tidak menjadi kenyataan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu, anak perempuan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi adalah individu yang ingin melabur di sebuah firma pengurusan hotel, bukannya Yayasan Akalbudi.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Fazli Zulkifli berkata, dia mengumpul semua maklumat berkenaan daripada beberapa saksi yang sudah ditemuramahnya.

“Datuk Seri (Zahid) memberitahu kami bahawa Yayasan Akalbudi berminat untuk melabur di Ri-Yaz Assets Sdn Bhd. Bagaimanapun, beberapa saksi lain mengatakan Nurulhidayah adalah individu yang berminat dan Yayasan Akalbudi akan membayarnya,” katanya semasa perbicaraan rasuah Zahid.

Menjawab soalan lain ketika ditanya timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi mengenai keadaan kewangan Ri-Yaz pada 2016, Fazli berkata syarikat itu sebelum ini “tidak stabil” kerana operasi hotelnya di Bali, Indonesia.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu RM8.6 juta dibayar kepada Ri-Yaz sebagai deposit untuk pembelian 60% saham dimiliki oleh pengarah ketika itu, Abdul Rashid Abdul Manan.

Bagaimanapun, bidaan Nurulhidayah untuk mendapatkan saham berkenaan pada 2017, tidak menjadi kenyataan, dan dia kemudian menuntut supaya deposit sebanyak RM8.6 juta itu dikembalikan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Zahid, bertanya saksi mengenai kenyataan Zahid, yang dirakam oleh SPRM pada 2018.

Hisyam menunjukkan, Zahid ada memberitahu penyiasat bahawa Yayasan Akalbudi ingin melabur di Ri-Yaz untuk menjana pendapatan yayasan tersebut.

Fazli bersetuju bahawa itulah yang diberitahu oleh Zahid sebelum ini kepada SPRM.

“Bagaimanapun, CEO Exim Bank mengatakan kepadanya bahawa pelaburan ini tidak akan menghasilkan pendapatan dan dia (Zahid) menarik balik keputusan itu,” kata Hisyam.

Saksi bersetuju.

Hisyam kemudian bertanya mengapa Fazli tidak memasukkan versi Zahid ke dalam keterangan saksinya yang dikemukakan di mahkamah.

Pegawai itu berkata versi pembelaannya “tidak penting”.

“Saya tidak memasukkan versi (Zahid) dalam pernyataan saksi saya hari ini kerana itu adalah keterangannya untuk membela diri,” kata Fazli.

Timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran membantah ketika Hisyam mencadangkan bahawa salah satu tuduhan Zahid atas tuduhan pecah amanah (CBT) berjumlah RM17.9 juta Yayasan Akalbudi dirangka dengan niat buruk oleh pihak pendakwaan.

“Adalah tidak sesuai untuk bertanya kepada saksi (soalan itu),” katanya.

Hisyam berkata, pihak pembelaan berpendapat bahawa tuduhan berkaitan CBT bernilai RM17.9 juta itu dilakukan dengan niat jahat.

Ketika hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah mengatakan bahawa Fazli perlu menjawab pertanyaan itu, saksi berkata dia tidak setuju dengan cadangan Hisyam.

Zahid menghadapi 47 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.

Perbicaraan bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.