
Penyiasat memperoleh rakaman salah satu daripada dua kamera pengawasan litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada jejambat pejalan kaki yang menghubungkan dua enklaf di Desa Tun Razak.
CCTV itu adalah sebahagian daripada Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS), iaitu sistem maklumat trafik yang komprehensif di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Daripada rakaman berdurasi enam minit itu, FMT difahamkan pasukan penyiasat boleh menyaksikan saat-saat perancah besi dilanggar pada pukul 5.54 petang pada Rabu oleh pemandu treler yang membawa sebuah jengkaut.
Struktur besi itu runtuh dan menghempap van pekerja kilang menuju ke Bandar Tasik Selatan. Dua wanita, kedua-duanya rakyat Malaysia, maut, sementara tiga lagi parah.
“Rakaman menunjukkan keseluruhan kejadian itu yang disebabkan oleh jengkaut yang diangkut oleh treler berwarna kuning dan dipandu di lorong tengah yang licin di lebuh raya tiga lorong MRR2, ” kata sumber dalaman.
Difahamkan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melawat lokasi kemalangan semalam dan mengukur ketinggian perancah besi yang selari dengan lintasan pejalan kaki.
“Ini untuk memeriksa sama ada struktur besi itu mematuhi peraturan ketinggian 5m,” katanya.

Difahamkan, penyiasat dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan JKKP sedang meneliti rakaman video tersebut untuk melihat kemungkinan kecuaian oleh syarikat pengangkutan terbabit.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya berkata, pemandu trak berusia 40 tahun itu diuji positif metamfetamin.
Bagaimanapun, seorang pemerhati industri berkata hari ini siasatan bukan sahaja tertumpu kepada pemandu treler itu.
“Satu persoalan penting ialah bagaimana treler berkenaan boleh melepasi had ketinggian 5m di lokasi lain, tetapi gagal melepasi (jejambat) di tapak pembinaan SUKE itu.
“Pihak berkuasa seperti LLM, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Agensi Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Pengangkutan Jalan dan JKKP perlu memastikan sekiranya kod keselamatan dipatuhi ketika mengangkut barang yang begitu besar.”
Katanya, dengan pembinaan besar yang berlaku di sepanjang jalan di Lembah Klang, pihak berkuasa juga perlu menyiasat sekiranya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dilanggar kontraktor terbabit.
Kemalangan itu adalah yang kedua dalam tempoh lima bulan lepas di kawasan lebuh raya sama, dengan insiden pertama kurang dari 1km dari situ.
Pada 19 Sept, seorang wanita nyaris maut apabila batu konkrit dari struktur pembinaan lebuh raya jatuh menimpa keretanya.
Kontraktor utama dan subkontraktor projek itu didenda sebanyak RM180,000 di mahkamah kerana gagal memastikan keselamatan di tapak pembinaan.