Minggu lalu, Indonesia yang menyasarkan 70% populasinya (181.5 juta) menerima suntikan vaksin menjelang hujung tahun ini mengumumkan peraturan yang membenarkan syarikat untuk membeli vaksin untuk kakitangan serta keluarga yang akan dijalankan di kemudahan kesihatan swasta.
Ini sebagai sokongan kepada program imunisasi kebangsaan yang dikendalikan kerajaan republik itu.
Pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa (MICCI) Shaun Cheah meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan membenarkan sektor swasta membantu mempercepatkan inisiatif imunisasi yang dijalankan.

“Ia bukanlah inisiatif yang memotong barisan senarai penerima, tetapi lebih kepada barisan kedua dengan melibatkan pembelian vaksin oleh syarikat.
“Ia bagi membolehkan suntikan vaksin diberikan kepada kakitangan dan keluarga mereka. Ini akan menjadi program sokongan kepada inisiatif kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
“Jika program suntikan vaksin semakin dilengahkan, Malaysia akan kehilangan momentum dan daya penarik sebagai lokasi pelaburan.”
“Negara jiran telah memulakan program ini dan dijangka akan menyelesaikan inisiatif suntikan vaksin lebih awal daripada kita.
“Ini bermakna mereka berada di hadapan dalam menarik minat pelaburan domestik dan asing. Mereka telah pun menarik pelabur asing dari Malaysia,” kata beliau.

Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 Malaysia dijadual selesai sepenuhnya Februari tahun hadapan.
Senada dengan cadangan berkenaan ialah presiden Business Survival Group, Abdul Malik Abdullah.
“Lebih ramai orang yang disuntik, lebih cepat ekonomi kita akan pulih,” kata Malik yang mengetuai 262 gabungan persatuan dan dewan perniagaan dengan penglibatan hampir sejuta syarikat.
Sementara itu, pakar ekonomi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Shankaran Nambiar yang turut bersetuju bagaimanapun menekankan ia hendaklah bertepatan dengan bekalan yang diperolehi oleh kerajaan secara diplomatic.

Beliau memberitahu FMT, inisiatif seumpama itu tidak seharusnya bersaing dengan kumpulan yang diberi keutamaan mengikut senarai yang disediakan kerajaan.
Ini bagi mengelakkan kekurangan bekalan vaksin sehingga hak imunisasi untuk barisan hadapan dan mereka yang berisiko tinggi terjejas.
“Seandainya syarikat swasta sanggup menanggung kos memberi suntikan kepada pekerja tanpa membebankan kerajaan, ia satu tindakan yang mesti dialu-alukan,” tambah beliau.
“Tindakan itu seharusnya dilihat sebagai sumbangan kepada kebajikan sosial dan membantu mengurangkan beban yang ditanggung kerajaan.
“Ini secara khusus akan memberi manfaat kepada syarikat yang ingin memberikan kemudahan ini kepada pekerja yang bekerja dengan syarikat mereka.”
Sejak beberapa bulan yang lalu, kluster tempat kerja menyumbang kepada peningkatan kes penularan Covid-19, termasuk di kawasan pembinaan dan kilang di seluruh negara.
Situasi ini mengakibatkan perniagaan terpaksa dihentikan sementara bagi mengekang penularannya.
Baru-baru ini, dalam temu bual bersama portal berita kesihatan Codeblue, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan mempertimbangkan cadangan berkenaan sebaik program imunisasi kebangsaan dimulakan.