
Panel tujuh hakim diketuai Rohana Yusuf berkata, rayuan Lim diterima dan satu-satunya persoalan undang-undang yang dikemukakan “dijawab dengan nada negatif”.
“Saman fitnah ini ditolak. Tiada perintah berkaitan kos kerana ia merupakan isu berkepentingan awam,” katanya.
Persoalan yang dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan tahun lepas ialah sama ada parti politik mempunyai kapasiti untuk meneruskan saman fitnah susulan keputusan kes Goldsmith lwn Bhoyrul.
Peguam Gopal Sri Ram yang mewakili Lim berkata, keputusan itu bermakna parti politik tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap individu.
Anggota lain panel hakim lain Azahar Mohamed, Nallini Pathmanathan, Zaleha Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Harmindar Singh Dhaliwal.
Pada Julai 2017, setiausaha agung MCA ketika itu Ong Ka Chuan memfailkan saman terhadap Lim berhubung kenyataan yang dibuatnya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada 15 Mac 2016.
Ong berkata, kenyataan Lim secara serius merosakkan reputasi MCA. Parti itu menuntut ganti rugi am dan teladan sebanyak RM100 juta.
Lim merujukkan kenyataan itu kepada maklumat daripada sumber beliau yang mendakwa MCA tidak pernah menggunakan dana parti itu untuk memberi peruntukan kepada sekolah Cina, malah sebaliknya ia “mengebas” dana awam.
Pada 2019 Mahkamah Rayuan megekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lim.
Terdahulu dalam penghujahannya Gopal Sri Ram berkata, bukan individu yang didakwa difitnah oleh Lim, tetapi melibatkan MCA.
Beliau berkata, parti itu bergantung pada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dalam kes Chong Chieng Jen lwn kerajaan Sarawak yang membenarkan kerajaan memulakan tindakan berkaitan fitnah terhadap individu.
Ini kerana mahkamah tertinggi membuat keputusan bahawa tindakan sedemikian boleh difailkan di bawah Seksyen 3 Akta Prosiding Kerajaan.
Sri Ram berkata, Lim disaman di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan dan MCA tidak mempunyai kausa tindakan sah terhadap defendan “kerana undang-undang fitnah melindungi reputasi individu”.
Beliau berkata, pada minggu lepas, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lim Guan Eng lwn Ibrahim Ali mengesahkan bahawa reputasi adalah berkait dengan individu, sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi, tetapi tidak melibatkan agensi kerajaan dan pertubuhan.
Beliau juga berkata, seperti MCA, kerajaan bukan individu artifisial yang boleh meneruskan kausa tindakan dalam saman fitnah”.
“Satu-satunya individu artifisial yang boleh meneruskan kausa tindakan dalam saman fitnah adalah perbadanan, malah itu pun hanya dari segi reputasi perniagaannya,” kata beliau.
Peguam Ng Chew Hor, yang mewakili Ong dan MCA berhujah bahawa keputusan kes Chong Chieng Jen adalah undang-undang yang sah kerana kebebasan bersuara dan ucapan yang dijamin oleh perlembagaan bukan mutlak.
Beliau berkata, Parlimen menetapkan sekatan terhadap kebebasan bersuara dengan kewujudan undang-undang fitnah.