
“Hospital swasta seperti (Hospital) Pantai sudah digunakan sebagai pusat vaksinasi untuk petugas kesihatan dalam fasa pertama. Kami akan libatkan lebih banyak hospital swasta untuk fasa kedua dan ketiga seperti yang saya umumkan sebelum ini.
“75,000 hingga 150,000 suntikan (vaksin Covid-19) sehari adalah untuk fasa-fasa berikutnya,” kata beliau di Twitter.
Khairy menjawab kenyataan Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) semalam yang menggesa kerajaan untuk mempertimbang kerjasama dengan sektor swasta dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan supaya negara boleh mencapai imuniti kelompok 80% lebih cepat.
Fasa pertama program tersebut kini sedang berlangsung, manakala fasa kedua akan berlangsung dari April hingga Ogos melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kelainan upaya.
Fasa ketiga dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.
Sebelum ini, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi dilaporkan berkata, tidak ada peruntukan segera bagi hospital swasta untuk membeli dan menjalankan program vaksinasi mereka sendiri.
“Tiada juga bekalan untuk hospital swasta ketika ini. Tetapi, kami akan mempertimbangkannya nanti,” kata beliau.