Peniaga didenda RM6,000 pindah babi tanpa kebenaran

Peniaga didenda RM6,000 pindah babi tanpa kebenaran

Tan Hong Haw didakwa memindahkan enam ekor babi hidup menggunakan lori tanpa mendapat kebenaran bertulis mana-mana pihak berkuasa veterinar pada 29 Ogos tahun lalu.

Tan Hong Haw didenda RM6,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayarnya oleh Mahkamah Majistret Butterworth. (Bernama pic)
BUTTERWORTH:
Gara-gara memindahkan enam ekor babi tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, seorang peniaga hari ini didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Nurul Huda Idris menjatuhkan hukuman itu selepas Tan Hong Haw, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa.

Nurul Huda turut memerintah tertuduh dilucutkan hak hasil jualan enam ekor babi berkenaan dan dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa memindahkan enam ekor babi hidup dari Jalan Tingkat Selamat 9, Kampung Selamat, Tasek Gelugor ke kawasan rumah sembelihan babi Hi-Good Corporation Sdn Bhd di Tingkat Selamat 10, Kampung Selamat Tasek Gelugor di daerah Seberang Perai Utara dengan menggunakan lori tanpa mendapat kebenaran bertulis pengarah negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

Tan didakwa melakukan kesalahan itu pada 12.15 tengah hari, 29 Ogos tahun lalu, mengikut pertuduhan di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 dan perintah bawah Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.