Wajibkah vaksinasi? Badan pemikir minta kerajaan perjelas kriteria buka sempadan

Wajibkah vaksinasi? Badan pemikir minta kerajaan perjelas kriteria buka sempadan

Pusat Pendidikan Pasaran memetik kenyataan yang bercanggah daripada pemimpin kerajaan.

Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata sekatan perjalanan yang berterusan akan menyebabkan kejatuhan industri pelancongan.
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir menyeru kerajaan menjelaskan sama ada vaksinasi Covid-19 adalah wajib atau sebaliknya, dengan memetik kenyataan yang bercanggah daripada pemimpin kerajaan.

Pusat Pendidikan Pasaran (CME) menyatakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, penyertaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah secara sukarela.

Tetapi CME juga memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, sekatan perjalanan antara daerah dan negeri hanya akan ditamatkan selepas 70% daripada populasi divaksinasi, yang membawa maksud tersirat bahawa vaksinasi itu wajib.

“Jika rakyat tidak boleh pun berfikir tentang perjalanan merentas daerah tanpa vaksinasi besar-besaran, ini bererti vaksinasi menjadi kewajipan yang tersembunyi,” katanya dalam kenyataan.

“CME berharap agar kepentingan kebebasan memilih akan dinyatakan kembali, beserta keperluan untuk pembuatan dasar diserahkan kepada ahli politik yang dilantik dan boleh dipertanggungjawabkan.”

Ia mendesak Khairy untuk menjelaskan sama ada sasaran vaksinasi 70% benar-benar sebahagian daripada kriteria kerajaan untuk pembukaan semula sempadan daerah dan negeri, sambil menambah, kenyataan Noor Hisham makin menyukarkan individu dan perniagaan untuk membuat keputusan yang tepat.

Ia juga memberi amaran bahawa dasar sebegitu akan mengakibatkan kejatuhan industri pelancongan sebelum sempadan negeri dibuka, sambil mengingatkan sektor ekonomi saling berkait antara satu sama lain.

“Kejatuhan satu industri mempunyai kesan terhadap kegiatan ekonomi lain,” katanya.

CME berkata, membiarkan pelabur untuk “tunggu dan lihat” akan menyekat pelaksanaan strategi perniagaan jangka panjang, yang kemudiannya akan memberi kesan negatif terhadap pekerjaan dan pemulihan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.