Bantuan sesuai perlu bagi mengawal kenaikan NPL, kata Tok Mat

Bantuan sesuai perlu bagi mengawal kenaikan NPL, kata Tok Mat

Timbalan presiden Umno berkata, bank mampu menyokong inisiatif seperti itu.

Mohamad Hasan berkata, bulan lalu bank pusat mendedahkan jumlah NPL mencecah RM28.7 bilion pada akhir tahun 2020.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mendesak Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) menerapkan dasar proaktif dalam menangani jumlah pinjaman tidak berbayar, tertinggi dalam sembilan tahun kebelakangan ini beberapa bulan alu.

Timbalan presiden parti itu Mohamad Hasan berkata, ini termasuk pengembangan dan lanjutan bantuan pembayaran dan langkah bantuan khusus untuk isi rumah dan perniagaan yang rentan.

“Sudah tentu, ia demi kepentingan bersama industri perbankan untuk terus menyokong dan membantu perniagaan dan isi rumah yang layak sepanjang tempoh yang mencabar ini,” kata Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat dalam kenyataan.

Beliau berkata, bank adalah “cukup berdaya tahan” untuk menampung dasar itu, sambil menambah keuntungan bersih dicatatkan beberapa bank utama menunjukkan moratorium automatik enam bulan tidak mengakibatkan kerugian diramalkan sebelumnya.

Bulan lalu, bank pusat mendedahkan jumlah NPL mencecah RM28.7 bilion pada akhir tahun 2020.

Mohamad berkata, peningkatan jumlah pinjaman terjejas dilihat antara isi rumah, perdagangan borong dan runcit, restoran dan perhotelan selepas moratorium pinjaman berakhir.

Bagi isi rumah, katanya, kehilangan pendapatan dan pengangguran menjejaskan kemampuan untuk memberi komitmen pinjaman terutama bagi mereka yang berhutang tinggi, menyumbang kepada kenaikan pinjaman yang merosot.

Manakala, kegagalan pembayaran pinjaman dalam kalangan peminjam perniagaan disebabkan oleh kerugian pendapatan dan penutupan perniagaan, terutama di sektor pelancongan, peruncitan dan rekreasi.

Mohamad berkata, BNM menyatakan kemerosotan nilai keseluruhan boleh meningkat hingga melebihi 4% pinjaman pada akhir tahun 2021, terutama didorong oleh segmen perniagaan.

“Ini membimbangkan kerana kesan kenaikan kadar NPL dapat melampaui sektor kewangan dan menghalang usaha pemulihan ekonomi Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.