Khairy janji siasat dakwaan ‘potong barisan’ vaksin

Khairy janji siasat dakwaan ‘potong barisan’ vaksin

Menteri itu berkata, isu 'potong barisan' adalah serius dan ia sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy Jamaluddin menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai individu memotong barisan untuk mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech supaya menghantar e-mel tanpa nama kepadanya untuk disiasat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin, menteri yang menyelaras program imunisasi Covid-19, berjanji akan menyiasat dakwaan terdapat kumpulan individu tertentu “memotong barisan” untuk mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech.

Beliau berkata, isu “potong barisan” adalah serius dan ia sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

“Pemberi maklumat boleh hantar e-mel tanpa nama kepada saya di [email protected] dan saya akan siasat,” katanya dalam respons terhadap satu catatan di Twitter oleh pakar nefrologi Hospital Selayang, Dr Rafidah Abdullah.

Rafidah berkata, ada individu tertentu yang dapat melangkau giliran untuk diberikan vaksin dan kementerian perlu mengambil kira saluran bebas untuk orang ramai membuat aduan.

Khairy berkata, pasukannya memantau komen pemberi maklumat di media sosial berhubung tindakan memotong barisan vaksin.

“Saya segera kongsikan maklumat itu dengan Dr Chong DDG@KKMPutrajaya yang duduk bersama saya dalam pasukan petugas untuk disiasat. Kami ambil serius setiap pendedahan yang dibuat. Vaksin itu merupakan ekuiti penting.”

Katanya, beberapa “VVIP”, yang bukannya wakil rakyat negeri atau persekutuan, ingin disenaraikan dalam fasa pertama program imunisasi negara.

“Dan untuk wakil rakyat, saya juga minta ambil (vaksin) secara berperingkat. Ada negeri bagi semua Exco (dewan eksekutif) ‘one shot’. ‘Not good’,” tulisnya di Twitter.

Dalam fasa pertama program imunisasi, petugas barisan hadapan seperti pekerja penjagaan kesihatan, pegawai penjara, anggota polis, bomba, Rela, tentera dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diberikan vaksin Pfizer-BioNTech.

Wakil rakyat terpilih juga termasuk dalam senarai itu, dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ialah individu pertama divaksinkan.

Khairy berkata, beliau menawarkan diri untuk tidak dimasukkan dalam senarai penerima vaksin Pfizer, sebaliknya akan menerima vaksin berikutnya yang akan diluluskan pihak berkuasa Malaysia.

Fasa kedua imunisasi akan bermula April ini untuk warga emas dan kumpulan berisiko tinggi, manakala fasa ketiga meliputi individu berusia 18 tahun ke atas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.