Terus patuhi SOP sehingga imuniti kelompok tercapai, kata Noor Hisham

Terus patuhi SOP sehingga imuniti kelompok tercapai, kata Noor Hisham

Ketua pengarah kesihatan berkata, segala pematuhan SOP dan tindakan kesihatan awam wajar diteruskan, meskipun aktiviti imunisasi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sedang dilaksanakan.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan membenarkan pergerakan merentas negeri atau daerah misalnya, bergantung kepada penilaian beberapa faktor dan memerlukan keputusan bersama pihak kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Semua pihak, termasuk individu yang menerima vaksin Covid-19 perlu terus mematuhi SOP sepenuhnya sehingga imuniti kelompok tercapai, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, segala pematuhan SOP dan tindakan kesihatan awam wajar diteruskan, meskipun aktiviti imunisasi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sedang dilaksanakan.

Langkah membendung penularan pandemik itu termasuk kawalan sempadan antarabangsa, pelaksanaan pelbagai SOP, aktiviti ujian dan saringan Covid-19 serta tindakan lain akan dinilai dari semasa ke semasa dan dibincangkan bersama dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara.

“Keputusan untuk membenarkan pergerakan merentas negeri atau daerah misalnya, bergantung kepada penilaian beberapa faktor ini dan ia memerlukan keputusan bersama pihak kerajaan.

“Antara indikator utama yang digunakan dalam penilaian risiko ini adalah situasi semasa kes harian Covid-19, trend dan nilai semasa R-Naught (Rt), trend dan situasi semasa kematian akibat wabak, situasi penggunaan katil untuk kes Covid-19 (di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, hospital, katil unit rawatan rapi serta kes yang memerlukan bantuan pernafasan),” katanya dalam kenyataan.

Indikator lain yang turut dinilai ialah situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti virus dan aktiviti ujian makmal serta survelan Covid-19.

Sebelum ini, Hisham dilaporkan berkata, KKM akan mempertimbangkan kelonggaran merentas daerah dan negeri, jika 70% hingga 80% rakyat sudah diberikan vaksin Covid-19.

Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang bermula 24 Feb lalu, dijangka melibatkan pemberian suntikan vaksin itu kepada 30,000 petugas barisan hadapan di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.