Penjawat awam sekali pun boleh saman jika reputasi terjejas, kata Mahkamah Persekutuan

Penjawat awam sekali pun boleh saman jika reputasi terjejas, kata Mahkamah Persekutuan

Hakim Harmindar Singh Dhaliwal berkata penjawat awam, sama seperti rakyat biasa juga mempunyai hak untuk reputasi dan maruah terjamin.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi supaya Perkasa dan Presidennya Ibrahim Ali membayar RM150,000 kepada Lim Guan Eng kerana fitnah.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan berkata, reputasi individu sama ada dalam kapasiti rasmi atau peribadi layak dilindungi seterusnya mempunyai hak untuk memfailkan saman fitnah.

Hakim Harmindar Singh Dhaliwal berkata, mereka mempunyai hak untuk mengambil tindakan seperti itu apabila penerbitan fitnah “menyerang” mereka secara peribadi ketika melaksanakan tugas dalam kerajaan, berbanding kritikan umum terhadap dasar awam.

“Tiada bezanya apabila penjawat awam difitnah kerana perlakuannya dalam kapasiti rasmi serta peribadi,” katanya dalam penghakiman terus.

Harmindar dan Hakim Nallini Pathmanathan dalam penghakiman majoriti mereka membenarkan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng merayu terhadap kumpulan pejuang hak Melayu, Perkasa yang melabelkannya pengkhianat kerana kononnya mendedahkan rahsia negara kepada kerajaan Singapura.

Hakim Abdul Rahman Sebli memberi penghakiman bertentangan.

Harmindar juga mengingatkan perlu ada imbangan dalam melindungi kebebasan bersuara serta reputasi seseorang.

Katanya, konsep seperti maruah, martabat, nama baik, kewibawaan dan perwatakan baik sering disebut dalam penghakiman-penghakiman mahkamah seterusnya membayangkan betapa reputasi individu penting untuk dilindungi.

Beliau berkata, penjawat awam, seperti juga rakyat biasa, berdepan risiko difitnah dan masing-masing mempunyai hak untuk melindungi reputasi serta maruah mereka.

Katanya, sekiranya tidak, akan wujud berat sebelah terhadap penjawat awam jika pencemaran reputasi mereka menjejaskan fungsi rasmi mereka, malah menyukarkan mereka melindungi diri terhadap serangan daripada media dan pihak lain yang memegang kuasa.

“Saya memutuskan bahawa penjawat awam mesti menikmati hak sama seperti rakyat biasa seterusnya dibenarkan menyaman menuntut ganti rugi kerana fitnah dalam sebarang kapasiti individu, sama ada berhubung isu peribadi atau awam,” katanya.

Katanya, Mahkamah Rayuan silap apabila mengetepikan penghakiman asal oleh Mahkamah Tinggi dan memutuskan penjawat awam dikecualikan daripada memfailkan saman fitnah dalam kapasiti rasmi mereka atas dasar kepentingan awam.

Penghakiman hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Perkasa dan Ibrahim Ali membayar ganti rugi RM150,000 kepada Lim.

Penerbit New Straits Times dan Utusan Melayu turut didapati bertanggungjawab dan masing-masing membayar RM200,000 tetapi tidak memfailkan rayuan.

Semua defendan disaman selepas kenyataan diterbitkan di laman web Perkasa yang membayangkana Lim membahayakan keselamatan negara apabila mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.