Perbanyak usaha banteras berita palsu mengenai vaksin, kata pakar

Perbanyak usaha banteras berita palsu mengenai vaksin, kata pakar

Wujud keperluan untuk membanteras mitos yang disebarkan melalui media sosial.

Mitos lazim berkaitan vaksin termasuk pengubahsuaian genetik dan dakwaan bahawa ia mengandungi bahan yang tidak halal dan berbahaya. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Beberapa orang pakar perubatan mengaitkan kebimbangan segelintir rakyat terhadap keselamatan vaksin dengan berita palsu yang disebarkan melalui media sosial.

Mereka memuji usaha kerajaan mendorong keyakinan terhadap vaksin Covid-19, tetapi berkata, teori konspirasi dan berita palsu agak melemahkan kesan usaha tersebut.

Pengarah Persatuan Kanser Kebangsaan Dr M Murallitharan berkata, salah satu salah faham paling lazim ialah terdapatnya kesan sampingan daripada vaksin yang dihasilkan “hanya dalam tempoh beberapa bulan”.

Mereka yang percayakannya akan menunggu sebilangan besar orang lain diinokulasi sebelum berbuat sedemikian, katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kerajaan telah melakukan “yang sewajarnya” untuk membanteras mitos itu, tetapi menambah, kita memandang rendah pengaruh media sosial dalam penyebaran naratif palsu.

Murallitharan berkata, usaha membanteras mitos mengenai vaksin adalah penting kerana “semakin ramai orang diinokulasi, semakin selamat.”

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, seorang profesor ekonomi kesihatan dan kesihatan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata usaha kerajaan menentang penyebaran kepalsuan “nampaknya tidak mencukupi”.

Beliau menggesa undang-undang diluluskan untuk mencegah orang ramai menyebarkan dakwaan palsu mengenai vaksin, seperti ia boleh menyebabkan autisme atau kematian.

“Terdahulu, Malaysia menyaksikan peningkatan penyakit polio dan difteria kerana orang ramai ragu-ragu untuk menerima vaksin,” katanya.

Inilah sebabnya mengapa penting bagi kerajaan untuk menjelaskan risiko kesan sampingan, bagaimana untuk menyelesaikannya dan ke mana soalan atau aduan selepas vaksinasi dapat diajukan.

“Tetapi kesan tidak mendapat vaksin juga harus dijelaskan,” katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia Dr Muhammad Yusri Musa berkata, kerajaan tidak cukup berusaha untuk membanteras mitos tersebut.

Katanya, mitos lazim berkaitan vaksin termasuk pengubahsuaian genetik, teori berkaitan agenda Israel dan tuduhan bahawa vaksin mengandungi bahan yang tidak halal dan berbahaya.

“Mitos (berkenaan) vaksin tersebar dengan meluas dalam masyarakat, tetapi sebahagian besar populasi tidak terpengaruh dengannya,” katanya.

Namun katanya, penting untuk menangani isu ini untuk memastikan kadar pengambilan vaksin adalah baik.

Presiden Universiti Sunway Dr Sibrandes Poppema berkata, segelintir orang memandang rendah bahaya virus ini, dan ada yang beranggapan keterlaluan terhadap risiko vaksinasi, selain ada yang tidak faham bahawa vaksinasi bertujuan melindungi masyarakat, bukan hanya individu.

Katanya, ada yang percaya vaksin Rusia dan Cina mungkin tidak cukup berkesan, manakala yang lain percaya berita palsu mengenai agenda tersembunyi di sebalik usaha vaksinasi.

“Kebenarannya adalah semua vaksin yang diluluskan terbukti dapat mencegah penyakit serius dan selamat melalui ujian klinikal yang ketat di pelbagai negara,” katanya.

Poppema, seorang pakar imunopatologi, berkata, kerajaan dan pelbagai pakar sudah berulang kali menyangkal mitos tersebut.

Namun katanya, serangan berita palsu, termasuk kenyataan daripada mereka yang mengaku sebagai pakar perubatan “menyebabkan kita perlu melipatgandakan usaha bukan sahaja dalam memerangi wabak Covid-19, tetapi juga berita palsu”.

Katanya, penting untuk terus menyalurkan maklumat yang diyakini seiring dengan kumpulan vaksin pertama yang baharu dilancarkan.

“Strategi vaksinasi hanya akan berkesan apabila lebih daripada 75% populasi diberi vaksin,” katanya.

“Jika tidak, virus akan merebak dan varian baharu akan berkembang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.