Pengamal media perlu suntikan vaksin Covid-19 lebih awal, kata NUJM

Pengamal media perlu suntikan vaksin Covid-19 lebih awal, kata NUJM

Presiden Farah Marshitah Abdul Patah berkata pengamal media sangat terdedah kepada virus Covid-19 disebabkan cara kerja yang memerlukan mereka sentiasa berada di lapangan dan bertemu orang ramai.

Presiden NUJM Farah Marshitah Abdul Patah berkata, dari hari pertama penularan Covid-19 pengamal media tetap bekerja seperti biasa dengan mengambil risiko sendiri, malah ada yang menanggung sendiri kos melakukan ujian saringan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pengamal media perlu dimasukkan sebagai golongan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas harian tanpa rasa takut dan bimbang.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) Farah Marshitah Abdul Patah berkata, pihaknya mengalu-alukan jika kerajaan mempertimbangan supaya pengamal media dimasukkan sebagai penerima terawal vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan, semalam.

Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana pengamal media antara petugas barisan hadapan yang sangat terdedah kepada virus Covid-19 disebabkan cara kerja yang memerlukan mereka sentiasa berada di lapangan dan bertemu orang ramai setiap hari.

“Dari hari pertama penularan Covid-19 sehingga sekarang, kita tetap bekerja seperti biasa dengan mengambil risiko sendiri, malah ada yang terpaksa menanggung sendiri kos untuk melakukan ujian saringan.

“Vaksin ini akan membolehkan petugas media menjalankan tugas dengan tenang tanpa dibayangi rasa takut setiap kali perlu berdepan orang ramai dalam mencari berita,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, mengesahkan guru dan pengamal media antara kumpulan dipertimbangkan bagi menerima vaksin fasa pertama.

Khairy yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, agihan itu bagaimanapun tertakluk kepada bekalan vaksin yang diperoleh negara bagi fasa pertama dan kajian risiko dilaksanakan.

Beliau berkata, permohonan vaksin bagi guru wajar memandangkan sekolah mula dibuka Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.