Keazaman rakyat kunci kejayaan masyarakat bebas rasuah, kata Chandra Muzaffar

Keazaman rakyat kunci kejayaan masyarakat bebas rasuah, kata Chandra Muzaffar

Perubahan kerajaan tidak menjamin kepimpinan baharu mengelak daripada melakukan perbuatan rasuah dan kesalahan lain.

Presiden Movement for a Just World Chandra Muzaffar berkata, rakyat dijemput menyertai kempen desentralisasi seperti Rasuah Busters yang matlamat utamanya bukan sahaja menghapuskan rasuah.
KUALA LUMPUR:
Kejayaan utama bagi sebuah negara bebas rasuah ialah keazaman rakyat untuk menghapuskan gejala rasuah dalam kalangan masyarakat, kata presiden International Movement for a Just World (JUST) Chandra Muzaffar.

Beliau berkata, perubahan dalam kerajaan tidak akan menjamin kepimpinan baharu mengelak daripada melakukan perbuatan rasuah dan kesalahan lain.

Bagaimanapun katanya, ujian sebenar bermula apabila pemimpin memilih untuk melakukan apa yang betul walaupun ia menjejaskan kepentingan mereka sendiri.

“Jika pilihan raya berubah, undang-undang dan fahaman tidak membawa kepada masyarakat yang bebas rasuah, tidak bolehkah seseorang berpaling kepada rakyat, minta mereka lakukan apa yang boleh untuk membawa masyarakat dengan komitmen lebih kuat, kepada sesuatu yang benar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam artikel bertajuk “A People’s Campaign Against Corruption” yang diterbitkan dalam seksyen Bernama Thoughts menerusi portal berita itu semalam.

Chandra berkata, semua rakyat dijemput menyertai kempen desentralisasi seperti Gerakan Sinar Rasuah Busters (Rasuah Busters), yang matlamat utamanya bukan sahaja menghapuskan rasuah, tetapi juga mewujudkan masyarakat yang benar-benar beretika dan bermoral.

Malah katanya, ini adalah kali pertama inisiatif sedemikian dilakukan rakyat, walaupun sebelum ini ada badan bukan kerajaan (NGO) khusus yang menyasarkan aspek rasuah atau pelanggaran undang-undang tertentu.

“Kempen ini adalah respons kepada persepsi bahawa rasuah merebak dalam masyarakat. Ia menekankan kesan jenayah ini terhadap rakyat dan mengapa mereka perlu memeranginya demi kebaikan dan masa hadapan negara,” katanya.

Rasuah Busters yang dilancarkan baru-baru ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai isu rasuah dan ia akan berpandukan kepada perlembagaan Malaysia, Rukun Negara dan nilai kejujuran dan integriti bersama yang terkandung dalam semua ajaran agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.