Balai Polis Ampang gantung 2 urusan selepas 11 anggota positif Covid-19

Balai Polis Ampang gantung 2 urusan selepas 11 anggota positif Covid-19

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, ia bukannya penutupan balai, tetapi hanya menangguhkan urusan membuat laporan polis dan permohonan rentas daerah atau negeri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, masih ada anggota yang bertugas di Balai Polis Ampang dan akan memproses laporan polis berkaitan kes di Ampang yang dibuat di balai polis lain. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Urusan membuat laporan polis dan permohonan rentas daerah atau negeri di Balai Polis Ampang digantung mulai hari ini sehingga 1 Mac ini, selepas 11 anggotanya disahkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak bagaimanapun berkata, ia bukannya penutupan balai, sebaliknya hanya penangguhan dua urusan terbabit.

“Siapa yang hendak buat laporan polis, mereka boleh pergi ke balai polis berdekatan, selepas itu laporan polis itu tetap akan dirujuk ke Balai Polis Ampang. Kita tidak mahu orang awam datang berurusan dalam Balai Polis Ampang.

“Kita gantung operasi untuk terima laporan, tetapi tetap ada anggota akan proses laporan polis yang dibuat di balai-balai polis luar berkaitan kes di Ampang. Penutupan itu beri gambaran seolah-olah kita tidak beroperasi terus, tetapi kita masih ada yang bertugas,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Facebook Polis Daerah Ampang Jaya menyenaraikan nombor telefon balai berhampiran di bawah pentadbiran IPD Ampang Jaya, antaranya Balai Polis Hulu Klang (03-42570486), Balai Polis Melawati (03-41081222), Balai Polis Pandan Indah (03-92742222), Pondok Polis Ukay Perdana (03-41472222) dan Pondok Polis Pandan Perdana (03-92852222).

“Sama-sama kita doakan petugas barisan hadapan yang positif Covid-19 diberi kesihatan yang baik dan segera sembuh,” menurut catatan di Facebook itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.