
Katanya, beliau difahamkan ada laporan polis yang dibuat terhadapnya.
“Pusat khidmat saya menerima panggilan daripada Bukit Aman pagi ini berhubung komen saya mengenai Agong. Mereka tidak menyatakan saya disiasat bawah undang-undang apa,” katanya kepada FMT.
Pakar perlembagaan itu berkata, beliau mungkin disoal siasat berhubung responsnya terhadap pertanyaan dalam siaran langsung Facebook bulan lalu.
“Apa yang saya katakan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jelas sekali, saya rasa orang ramai tidak tahu (apa) yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.”
Bagaimanapun, katanya, beliau akan menunggu polis memberitahu butiran kepadanya dan sedia memberi kerjasama penuh kepada polis.
Terdahulu, media melaporkan kertas siasatan bawah undang-undang hasutan dan multimedia dibuka terhadap Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan atas komen mereka selepas Mahkamah Persekutuan mendapati portal berita itu bersalah menghina mahkamah Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah mengesahkan dua laporan polis berasingan dibuat seorang individu daripada sebuah NGO berpangkalan di Gurun, Kedah.