
Timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, majikan telah diberi masa yang cukup untuk mematuhi Akta Piawaian Perumahan dan Kemudahan Pekerja yang dipinda.
Effendy berkata, pindaan undang-undang itu bukan sesuatu yang baru kerana telah berkuat kuasa pada 2019.
“Kerajaa telah memberi mereka hampir dua tahun untuk mematuhinya. Adalah lebih baik mereka (syarikat) mematuhinya.
“Dan untuk FMM meminta tempoh 12 bulan adalah keterlaluan,” katanya.
FMM semalam mengkritik kerajaan kerana penggunaan Ordinan Darurat yang disifatkan ‘tidak wajar’ terhadap majikan berhubung isu itu.
Sementara itu, setiausaha eksekutif Kesatuan Pekerja Perladangan Nasional A Navamukundan bersetuju dengan Effendy, dengan berkata bahawa menteri sumber manusia M Saravanan hanya mengambil inisiatif untuk menegakkan undang-undang bagi melindungi pekerja.
“Mereka harus mematuhi apa pun yang dinyatakan di bawah undang-undang,” tambahnya.
Aktivis hak asasi manusia Adrian Pereira berkata penggunaan kuasa darurat mengenai isu-isu perumahan pekerja bukan penyelesaian jangka panjang.
“Bagi isu-isu berkaitan pekerja asing, kerajaan perlu mencadangkan penyelesaian jangka panjang yang holistik melalui undang-undang yang komprehensif khusus untuk pekerja asing,” kata Pereira.
Beliau berkata tiada apa yang menghalang Jabatan Tenaga Kerja daripada menjadi proaktif dan menjalankan pemeriksaan ke atas perumahan pekerja.