
Menerusi perkongsian di Facebook Lembaga Zakat Selangor (LZS), memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai wanita warga emas itu yang berseorangan di tepi jalan berserta sekali lampin pakai buang dan beg pakaian.
Difahamkan, wanita warga emas yang juga kudung sebelah kaki, didapati masih mempunyai ahli keluarga.
“Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor serta ketua operasi agihan daerah Kuala Langat bertindak segera turun pada 8.30 malam tadi bagi menyantuni wanita ini.
“Hasil siasatan mendapati beliau merupakan asnaf fakir kami dan masih mempunyai keluarga.
“Usaha menghubungi keluarga berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang waris yang sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan pelbagai alasan,” kata Zakat Selangor.
Susulan itu, pihak Zakat Selangor menyerahkan warga emas berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Polis bertindak menghubungi anak warga emas terbabit dan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran pihak berkuasa berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, anak wanita itu yang pada awalnya bersetuju mahu mengambilnya bertindak menukar fikiran atas alasan tidak boleh menjaga ibunya lagi.
“Anaknya membuat keputusan tidak boleh menjaga ibunya lagi dan pihak polis terpaksa menghubungi pusat jagaan warga emas yang datang menaiki ambulans untuk membawa ibu ini ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.”
Menurut Zakat Selangor, wanita warga emas itu menyatakan sudah lama tidak berjumpa dengan anaknya sambil menyifatkan anaknya seorang yang baik.
“Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Kata wanita itu ‘dah lama acik (makcik) tak jumpa anak, anak acik baik orangnya’.
“Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka mengetahuinya,” katanya.
Zakat Selangor memaklumkan, wanita warga emas itu kini ditempatkan di pusat jagaan warga emas dengan kebenaran anaknya dan semua kos akan ditanggung oleh pihak Zakat Selangor.