
Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia Ruslan Saidin berkata, walaupun ramai mengatakan vaksin itu selamat, keraguan dalam kalangan kakitangan dan warga emas masih wujud terutama melibatkan kesan sampingan jika menerima suntikan vaksin terlalu awal.
“Cuma kami bimbang dengan vaksin ini sebab ia baharu dan belum terbukti selamat sepenuhnya. Kita bimbang juga, tapi harapnya tiada sebarang masalah bila disuntik nanti.
“Secara dasarnya kami tiada masalah kalau nak beri vaksin kepada warga emas cuma rasa bimbang itu ada. Kita akan tanya warga emas, kalau mereka kata nak suntik, kita suntiklah tidak ada masalah cuma kita ambil langkah berhati-hati,” katanya kepada FMT.
Ruslan berkata, pihaknya tiada masalah jika warga emas di pusat itu tidak dimasukkan dalam golongan penerima awal vaksin kerana menganggap ia lebih penting untuk petugas barisan hadapan.
“Keutamaan permulaan ini bagi petugas barisan hadapan dulu sebab mereka setiap hari berdepan kes jangkitan itu. Selepas itu kalau tiada kesan sampingan teruk, boleh diberi kepada warga emas,” katanya.
Menurutnya, sementara menunggu giliran menerima vaksin, pihakya memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan sebelum ini 30 penghuni pusat jagaan itu positif Covid-19 malah dua daripadanya meninggal dunia.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan J’Keb Malaysia (YJM) Zulkifli Md Aris bersetuju selepas petugas barisan hadapan, warga emas diberi keutamaan vaksin termasuk yang berada di pusat jagaan memandangkan kumpulan itu mudah dijangkiti.
Beliau juga mengingatkan pihak yang menolak vaksin supaya tidak mempengaruhi orang lain khususnya warga emas.
“Pada saya ambil vaksin ini tak dipaksa kepada sesiapa, yang tidak mahu itu terpulang kepada mereka. Tapi mereka yang menolak vaksin ini janganlah memberi pandangan negatif. Kita tidak mahu berlaku percanggahan pemikiran menyebabkan orang keliru.
“Kalau mereka tak mahu vaksin duduk diam, jagan pengaruhi orang lain, jangan beri pandangan negatif,” katanya.
Zulkifli turut menyeru semua badan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan untuk meyakinkan masyarakat yang vaksin mampu mengekang jangkitan Covid-19.
Sebelum ini, banyak pihak mencadangkan supaya warga emas diberi keutamaan pemberian vaksin.
Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) juga menggesa kerajaan memasukkan warga emas di rumah orang-orang tua dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dalam usaha mengurangkan kadar kematian dan beban kesihatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun bersetuju warga emas dan orang kurang upaya (OKU) diberi keutamaan bagi fasa kedua program imunisasi itu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksinasi kakitangan dan penghuni pusat jagaan warga emas antara langkah penting dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di negara ini memandangkan jangkitan di institusi penjagaan boleh berlaku dengan sangat pantas dan sukar dibendung sekiranya tindakan lambat diambil.