Lelaki positif dadah langgar SJR mahu rentas negeri

Lelaki positif dadah langgar SJR mahu rentas negeri

Pemandu berusia 21 tahun itu berada bawah pengaruh dadah serta positif methamphetamine.

Seorang lelaki yang berada bawah pengaruh dadah ditahan kerana melanggar SJR ketika PKP sehingga hampir mencederakan anggota polis, dalam kejadian di Jalan Kampung Selamat, di sini hari ini.
TASEK GELUGOR:
Seorang lelaki yang berada bawah pengaruh dadah ditahan kerana melanggar sekatan jalan raya (SJR) ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga hampir mencederakan anggota polis, dalam kejadian di Jalan Kampung Selamat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 11 pagi itu, anggota polis cuba menahan kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki di SJR di situ kerana berada dalam keadaan mencurigakan namun pemandunya enggan berhenti dan terus memecut.

“Kereta itu dari arah Padang Serai, Kedah menghala Tasek Gelugor dan pemandunya yang sedang memecut laju telah memandu secara melulu, melanggar kon serta lampu di SJR sehingga pecah bagi mengelak ditahan polis. Tindakan lelaki itu juga hampir melanggar anggota yang bertugas di situ.

“Anggota polis yang berada di SJR itu bertindak mengejar kereta tersebut kira-kira 3km sebelum berjaya menahan kenderaan dan pemandunya di Jalan Kubang Menerong, semasa mengejar, suspek memandu dalam keadaan berbahaya malah hampir melanggar pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, ujian air kencing dijalankan terhadap pemandu berusia 21 tahun itu mendapati lelaki berkenaan memandu bawah pengaruh dadah serta positif methamphetamine.

Beliau berkata, lelaki itu direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan turut dikompaun RM1,000 kerana merentas negeri tanpa surat kebenaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.