
Presidennya Pretam Singh berkata, undang-undang seperti itu akan membantu memastikan pembeli mendapat rumah yang mereka kehendaki.
“Ini akan memberi kepastian dan menghindari penyalahgambaran,” katanya kepada FMT susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini bahawa tribunal perumahan hanya dapat menyelesaikan perselisihan antara pembeli dan pemaju seperti yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli (SPA).
Mahkamah berkata, jangkaan pembeli untuk unit sebenar tidak boleh bergantung kepada model pameran oleh pemaju.
Pemaju hartanah yang berpangkalan di Johor, Country Garden Danga Bay Sdn Bhd (CGDB) berjaya dalam rayuan terhadap pemberian pampasan sebanyak RM50,000 kepada pembeli kondominium bernilai RM1.6 juta yang mengatakan premis tersebut dibina tanpa balkoni berbumbung.
Warga Singapura Ho Chee Kian menerima kunci kepada unitnya pada 2017.
Tribunal perumahan di Johor Bahru memberikan Ho pampasan sebanyak RM50,000 pada 2018 walaupun beliau mengubah suai unit tersebut.
CGDB memohon semakan kehakiman, tetapi kalah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, dalam keputusan penting awal bulan ini, Mahkamah Persekutuan mengizinkan rayuan CGDB, dengan memutuskan tribunal perumahan hanya dapat menyelesaikan perselisihan antara pembeli dan pemaju seperti yang dinyatakan dalam SPA.
Kata Pretam, kes ini sekali lagi menggambarkan isu berkaitan unit pameran yang menjadi kebiasaan dalam penjualan hartanah baharu.
Beliau berkata, pemaju tidak terikat dengan apa-apa yang digambarkan oleh unit pameran kerana tafsiran perkataan “iklan” seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 adalah sempit.
“Oleh itu, wujud keperluan mendesak untuk peruntukan yang berkaitan dengan unit pameran mirip dengan yang terdapat dalam peraturan Pemaju Perumahan Singapura (unit pameran) 2015,” katanya.
Beliau berkata, peraturan dalam undang-undang Singapura dengan jelas menyatakan sejauh mana “unit pameran yang digambarkan mesti mencerminkan projek bangunan yang dicadangkan”.