
Penduduk Kampung Sungai Dua baru-baru ini diberikan beberapa notis pengusiran, dengan yang terbaru mengarahkan mereka untuk mengosongkan rumah pada 14 Mac.
Dalam kenyataan, pejabat ketua menteri berkata pihak berkuasa yang berkenaan akan bertemu Isnin ini untuk membincangkan notis pengusiran itu, dan kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menghalang pengusiran sekiranya penyelesaian bagi pemindahan penduduk dan tempat ibadat mereka tidak dapat dicapai.
“Kerajaan negeri menegaskan bawah garis panduan perancangan semasa, setiap pemaju projek awam atau swasta mesti menyelesaikan masalah penempatan semula terlebih dahulu sebelum kerja (pemajuan) diizinkan bermula.
“Pejabat Tanah dan Galian persekutuan harus mematuhi syarat ini sebelum pengusiran dilakukan, dan ketika ini, mereka mesti membuktikan kepada kami bahawa mereka telah menyelesaikan masalah penempatan semula,” katanya.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat itu akan melibatkan agensi tersebut dan pihak berkuasa tanah negeri.
Sebilangan besar penduduk kampung yang berdepan pengusiran itu daripada keturunan keluarga yang sudah tinggal di kawasan itu selama hampir satu abad, tetapi tanpa hak milik tanah rasmi.
Ramai antara mereka berdepan ancaman pengusiran sejak 2007, ketika pembinaan ibu pejabat polis baharu di daerah itu pertama kali dirancang.
Menurut ADUN Batu Uban Kumaresan Aramugam, beberapa penduduk menerima pembayaran ex gratia sebanyak RM27,200 untuk berpindah pada masa itu, tetapi yang lain mahukan rumah ganti sebagai sebahagian daripada pakej pampasan penuh.
“Walaupun kebanyakan penduduk di sini faham mereka hanya tinggal setinggan di tanah kerajaan, apa yang mereka mahukan hanyalah pampasan yang adil dan tempat tinggal. Mereka bersedia untuk pindah,” katanya.