Persaingan harga dan ‘aib’ industri kurier negara

Persaingan harga dan ‘aib’ industri kurier negara

Perang harga mengakibatkan sebilangan syarikat kurier tidak mampu menampung kos buruh.

Persaingan harga menyebabkan syarikat kurier berdepan masalah, termasuk terpaksa mengorbankan gaji dan kualiti perkhidmatan. Syarikat dalam video tular ini menyaksikan perniagaannya merudum.
PETALING JAYA:
Pemain industri melahirkan kebimbangan mengenai masa depan sektor perkhidmatan penghantaran barang di negara ini.

Ini susulan rakaman video tular yang menunjukkan kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Ipoh melempar barang yang seharusnya dikirim sebagai suatu bentuk protes terhadap majikan.

Perkembangan positif perniagaan dalam talian “e-commerce” terutama ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan , menyumbang kepada peningkatan penghantaran barangan – Pos Malaysia sahaja menjangkakan purata 800,000 parsel setiap hari pada waktu puncak.

Namun, dengan 109 firma kurier yang beroperasi sehingga akhir Oktober lalu, perang harga yang berlaku menyebabkan sesetengah syarikat dilihat menghadapi kesukaran untuk menanggung kos pekerja.

Menyifatkan insiden berkenaan sebagai “memalukan” industri kurier, Presiden Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC), Teong Teck Lean percaya masalah yang timbul berpunca daripada syarikat gergasi e-dagang sendiri.

Teong berkata, syarikat gergasi terbabit dipercayai menjalin peluang perniagaan dengan firma kurier tertentu dan kemudiannya memaksa syarikat terbabit menurunkan harga mereka.

“Syarikat e-dagang ini sangat berpengaruh. Kalau anda membantah hari ini, esok anda akan kehilangan peluang perniagaan,” beliau memberitahu FMT.

“Dari situlah masalah ini bermula dan menjadi semakin serius. Syarikat kurier ini fikir seandainya mereka kekal dengan harga rendah, mereka akan mendahului pesaing yang lain dan akhirnya mengambil alih industri dan memonopolinya.

“apabila mereka mendapat pesanan yang banyak, agak mudah untuk menampung kerugian susulan harga rendah yang ditawarkan.

“Hanya tolak daripada gaji pekerja. Mereka tahu pada waktu sebegini ramai yang tidak mempunyai pekerjaan.”

Teong berkata, beliau menyedari bahawa perang harga telah lama berlaku.

Beliau, yang juga merupakan pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif syarikat perkhidmatan penghantaran barang GD Express Carrier Bhd (GDex) berkata, persaingan kini menjadi semakin sengit dengan kehadiran syarikat perkapalan antarabangsa yang turut memiliki perniagaan kurier e-dagang.

Gandhi, seorang ejen syarikat perkhidmatan kurier di Puchong menyedari bagaimana syarikat ini terpaksa tunduk dengan amalan ini bagi memastikan kelangsungan jangka panjang perniagaan.

Beliau memberitahu FMT bahawa syarikat perkhidmatan kurier terpaksa menawarkan harga rendah bagi menarik pelanggan, namun tidak memberikan tahap perkhidmatan yang sewajarnya.

“Ada syarikat yang baharu ditubuhkan hari ini, tetapi esok sudah tidak beroperasi lagi,” kata beliau.

“Mereka terima banyak pesanan, namun tidak dapat menyeimbangkan keuntungan memandangkan beban kos yang ditanggung juga tinggi – Tenaga kerja, minyak petrol dan pengangkutan.”

“Orang dalam” industri perkhidmatan kurier yang tidak mahu identitinya didedahkan berkata, syarikat perkhidmatan kurier menurunkan harga sehingga akhirnya kehilangan wang kerana harga minimum mereka tidak mampu menanggung kos.

Beliau menambah, pelanggan seharusnya sedar bahawa harga rendah menyebabkan sesebuah syarikat tidak mampu membayar gaji yang setimpal dan bonus kepada pekerja.

Industri ini kata beliau, seharusnya memikirkan cara dan kaedah yang boleh dilakukan untuk memberikan perkhidmatan yang baik walaupun pada harga rendah.

“Syarikat pada kebiasaannya membayar gaji minimum kepada pekerja tanpa memberi faedah yang lain. Pekerja dipaksa bekerja lebih masa sekiranya mahukan bayaran yang lebih tinggi.”

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum ini membangkitkan isu berkaitan gaji rendah pekerja dalam industri ini kepada menteri sumber manusia dengan memfokuskan kepada beberapa isu berbangkit, termasuk tiada kontrak perkhidmatan, tiada peningkatan gaji tahunan serta kelewatan pembayaran gaji.

“Apa yang berlaku benar-benar mengejutkan dan membuka mata. Kita perlu lakukan sesuatu bagi memastikan kelangsungan industri ini, tambah “orang dalam” itu.

“Kalau syarikat boleh mengorbankan harga yang ditawarkan, mereka juga boleh mengorbankan kebajikan pekerja,” tambah beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.