
Dalam kenyataan bersama, Pesuruhjaya Tinggi Britain Charles Hay dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Kanada Esther Van Nes, menyatakan kebimbangan terhadap keputusan mahkamah itu.
“Kebebasan media sangat penting bagi keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan semua masyarakat. Orang awam mesti dibenarkan untuk membincangkan dan membahaskan isu secara bebas,” kata mereka.
Penganalisis politik Bridget Welsh berkata di Twitter, keputusan itu akan memberi kesan negatif kepada Malaysia dalam hal kebebasan semua platform media, sambil menambah ia akan “melemahkan lagi pelaburan asing”.
Peguam Lim Wei Jiet menyatakan sentimen sama, dengan berkata keputusan itu akan memberi implikasi kepada semua portal berita dalam talian, kerana ia bermaksud mereka bertanggungjawab atas “komen pihak ketiga yang didakwa menghina di laman webnya.”
“Adakah portal berita sekarang menjadi ‘gatekeepers’ tentang apa yang menghina/menghasut? Ini secara tidak sengaja dapat menghalang ucapan bebas dan komen yang betul-betul membina,” katanya.
Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menerusi catatan di Twitter: “Hari yang menyedihkan untuk kebebasan akhbar di negara ini … kami menyokong solidariti dengan Malaysiakini dan semua pihak yang menyokong kebebasan akhbar.”
Dalam catatan Facebook, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago setuju, dengan berkata ia adalah “cabaran untuk kebebasan media”. Katanya, beliau akan menyumbang sebanyak RM1,000 untuk membayar denda itu.
Mkini Dotcom Sdn Bhd didenda RM500,000 selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan menerbitkan komen warganet tahun lalu. Syarikat itu meminta derma daripada pembaca dan penyokong untuk membayar denda yang dikenakan.
Denda melebihi RM200,000 itu dicadangkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, dan syarikat itu diberikan tiga hari, mulai Isnin untuk menyelesaikannya.
Ketua Pengarangnya Steven Gan, bagaimanapun didapati tidak bersalah atas tuduhan menghina itu.