Kecewa gagal rujuk bekas isteri, lelaki cuba terjun jambatan

Kecewa gagal rujuk bekas isteri, lelaki cuba terjun jambatan

Tindakan itu gagal apabila bekas isteri lelaki berkenaan datang ke lokasi kejadian untuk memujuknya.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata dalam insiden pada 1.30 tengah hari lelaki itu ditemukan berdiri di atas pembahagi jalan dan berpaut di tiang lampu serta mengugut untuk terjun dari jambatan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Buntu selepas usaha memujuk bekas isteri untuk rujuk semula gagal, seorang lelaki berusia 50 tahun nekad cuba terjun dari jambatan di Jalan Pintas Rawang-Serendah (Rawang Bypass) dari Selayang menghala Sungai Buaya.

Bagaimanapun, tindakan itu berjaya digagalkan apabila bekas isteri lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 50 tahun datang ke lokasi kejadian untuk memujuknya supaya tidak terjun dari jambatan setinggi kira-kira 100m.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata, dalam insiden pada 1.30 tengah hari lelaki itu ditemukan berdiri di atas pembahagi jalan dan berpaut di tiang lampu serta mengugut untuk terjun dari jambatan.

“Siasatan mendapati lelaki tersebut baru berhenti kerja sebagai pemandu peribadi dan mengalami krisis rumah tangga dengan bekas isterinya selepas bercerai pada Januari lalu serta sedang berusaha untuk rujuk semula,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perkahwinan pasangan itu selama empat tahun tidak dikurniakan cahaya mata.

Katanya, lelaki yang tidak mempunyai rekod lampau itu ditahan reman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi kesalahan cuba membunuh diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.